My Add

Thursday 12 July 2012

Anak Johor 'bapa' kepada ratusan pelajar di Australia

ADELAIDE, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Walaupun sudah mempunyai lebih 200 "anak" dari seluruh dunia, Datuk Hassan Salleh tidak keberatan untuk menambah lagi bilangan itu. 

Beliau bertindak sebagai "bapa" kepada mereka apabila syarikat pengurusan hartanahnya, Adelaide International Village, di Australia Selatan, mengurus kemudahan tempat tinggal untuk lebih kurang 250 pelajar sekolah menengah dan universiti di Bradford Lodge dan Highgate Lodge.

Sebenarnya, anak kelahiran Johor ini, yang lebih mesra dengan panggilan Hass, mencipta kejayaan di Adelaide sejak hampir 50 tahun lalu tanpa diduga dan dirancang. 

Pada zaman Darurat di Tanah Melayu (1948-1960), bapa beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan di Hospital Besar Johor Bahru. 

“Pada suatu malam, bapa saya, Datuk Dr Mohd Salleh, mendapat panggilan supaya datang ke hospital; anak perempuan seorang pegawai tentera British sakit teruk," katanya. 

“Selepas dirawat oleh bapa saya, dia sembuh dan sejak itu, pegawai berkenaan selalu berkata bapa sayalah yang menyelamatkan nyawa anaknya," katanya. 

Apabila berhijrah ke Adelaide, pegawai itu bertugas sebagai bendahari di King’s College (kini Pembroke School) dan sebagai tanda terima kasih, beliau menawarkan biasiswa kepada lima anak Salleh – Hassan anak kelima - untuk menyambung pelajaran di Australia. 

“Kami tidak sabar untuk ke Australia, tapi oleh kerana tidak ada perkhidmatan udara ketika itu, kami menaiki kapal yang singgal di sebuah pekan di pesisiran pantai bernama Carnarvon ketika dalam perjalanan ke Perth. 

“Satu kumpulan daripada kami berjalan memasuki pekan itu dan makhluk pertama yang saya jumpa di Australia ialah seekor gagak hitam besar yang hinggap di sebatang tiang. Ketika itu bulan Februari, dan oleh kerana cuacanya sungguh panas, saya berkata pada diri sendiri: 'Kalau inilah Australia, saya nak pulang ke rumah'," katanya. 

Hassan tidak menyangka bahawa kisah ini menjadi sebahagian daripada sejarah migrasi Australia apabila ia diabadikan pada satu papan peringatan di Migration Museum di Pyrmont Wharf, Sydney. 

Walaupun tanggapan awalnya mengenai Australia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan, tetapi Hassan dapat menyesuaikan diri sebaik saja sampai di Adelaide. 

“Setelah tamat pengajian, saya mendirikan rumah tangga dengan seorang rakyat Australia. Saya pun buat keputusan tentang tempat untuk bermastautin dan selesailah satu masalah. 

“Malah, selepas menamatkan persekolahan, pelajar Malaysia di King’s College yang datang selepas saya, terus berhubung dengan saya kerana kesunyian dan ketika itu belum ada lagi restoran Malaysia," katanya. 

Keadaan ini mendorong Hassan bertindak sebagai penyelaras sosial bagi pelajar berkenaan dan menghidangkan masakan Malaysia di rumahnya. 

Pada setiap hujung minggu, Hassan dan isterinya meraikan 20 hingga 30 pelajar, yang menjadikan rumah mereka seolah-olah sebuah pusat sosial. 

Pada 1968, peranannya sebagai Pegawai Perhubungan mendapat pengiktirafan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia. 

Komitmen Hassan terhadap rakyat Malaysia terus mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik sebagai Konsul Kehormat Malaysia di Australia Selatan pada 1978 dan dianugerahi gelaran "Datuk" oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2011. 

Ketika Hassan mangurus Bradford Lodge, anak beliau, Adam, pula mengurus dan menjaga kebajikan pelajar di Highgate Lodge. 

“Ia umpama kedai sehenti bagi pelajar. Kami membantu mereka dalam segenap hal dan ini memberi satu bentuk kepuasan dan keseronokan kepada saya. 

“Saya tunjuk kepada pelajar cara membasuh pakaian, memasak dan jenis perkhidmatan telefon yang patut mereka gunakan. Selain membimbing mereka, saya juga memberi peluang kepada mereka untuk mengalami sendiri sesuatu perkara agar mereka boleh berdikari. 

"Saya lebih suka membiarkan pelajar mencapai kematangan sepenuhnya ketika mereka membesar di Adelaide. Khidmat yang kami beri bersifat menyokong, bukan mencampuri kehidupan mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment