My Add

Thursday 12 July 2012

PM dijangka umum jumlah perlindungan insurans penjaja

KOTA KINABALU, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan jumlah perlindungan di bawah skim insurans berkelompok penjaja dan peniaga kecil sebaik sahaja cadangan pewujudan skim insurans itu mendapat kelulusan kabinet Persekutuan. 

Sambil menyifatkan pemberian insurans kepada penjaja dan peniaga kecil sebagai "hadiah Perdana Menteri" untuk golongan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya kini giat mengumpul senarai nama penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di seluruh negara bagi memudahkan pelaksanaan skim insurans berkenaan.

 "Kita tidak mahu ada nama penjaja dan peniaga kecil yang "terkeluar" daripada senarai. Sebab itu, kita mahu senarai penuh penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di Sabah, Sarawak, Labuan dan negeri-negeri lain sebelum kertas cadangan berhubung skim insurans ini dikemukakan kepada kabinet untuk kelulusan," katanya. 

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini. 

Katanya, skim insurans itu memberi kebaikan kepada penjaja dan peniaga kecil semasa berlaku kemalangan atau kematian. 

Beliau berkata, skim perlindungan insurans itu adalah salah satu kemudahan yang sedang dirangka kementeriannya sebagai susulan pengumuman Perdana Menteri selepas pertemuan beliau dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia di Kuala Lumpur pada 27 Mei lepas. 

Katanya, terdapat 34 persatuan penjaja dan peniaga kecil di Sabah dengan jumlah ahli berdaftar seramai 1,730 orang. 

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kabinet Persekutuan bersetuju dengan penubuhan sebuah Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat negeri dan Kebangsaan yang antaranya berperanan menjadi forum untuk membantu dalam merancang, dan menggubal sebarang bentuk dasar atau strategi bagi membangunkan sektor penjaja dan peniaga kecil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment