My Add

Friday 13 July 2012

Angkasa mohon RM3b bantu ahli beli rumah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Julai -==, 2012: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedang dalam usaha memperkenalkan sistem pembiayaan jual beli rumah melalui kaedah 'musyarakah mutanaqysah' bagi tujuan membantu ahli-ahlinya yang berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, sistem itu yang akan dikendalikan oleh Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya) dilihat boleh membantu menyelesaikan masalah masyarakat yang memerlukan rumah tanpa perlu menanggung beban hutang dalam jangka panjang.

Bagaimanapun menurutnya, Kopsya yang ditubuhkan setahun lalu masih kekurangan modal bagi melaksanakan sistem tersebut secara sepenuhnya, justeru Angkasa berharap kerajaan dapat memberikan pinjaman mudah sebanyak RM3 bilion bagi tujuan itu.

"Kami telah mengusulkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memohon jasa baik beliau untuk melihat perkara ini kerana dengan RM3 bilion ia dapat menyelesaikan banyak masalah perumahan.

"Ini satu pendekatan baru, pendekatan menang-menang dan tidak membebankan, dapat menyelesaikan masalah perumahan terutama di kalangan generasi kedua," katanya di sini.

Jelas Mohd. Ali, kaedah 'musyarakah mutanaqysah' merupakan pembiayaan yang disediakan secara perkongsian pintar dengan ansuran bulanan oleh ahli terlibat ditukar sebagai syer.

Menerusinya, ahli-ahli berpendapatan rendah dibantu untuk memiliki rumah pada harga lebih kompetitif dan cepat berbanding kaedah konvensional yang menyebabkan harga rumah melambung.

Menurut beliau, menerusi sistem yang ada sekarang serta tempoh bayaran balik yang lebih lama, pembeli perlu membayar semula dengan jumlah yang lebih tinggi berbanding harga sebenar rumah.

"Sebaliknya, berdasarkan sistem 'musyarakah mutanaqysah', harga jualan sesebuah rumah akan kekal pada harga yang sama dan wang yang dibayar kepada Angkasa ditukar kepada syer milik ahli koperasi sendiri," katanya.

Tambahnya, menerusi pinjaman mudah itu juga Angkasa dapat membantu koperasi-koperasi di bawahnya untuk membangunkan aset tanpa melalui pinjaman bank yang perlu melalui pelbagai peringkat permohonan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment