My Add

Friday 13 July 2012

Pelan induk PKS dilancar

*NAJIB mempengerusikan Mesyuarat Ke-13 Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kebangsaan di Putrajaya, semalam. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kiri) dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (dua kiri). - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Pelan Induk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) 2012-2020 yang dilancar hari ini menyasarkan peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 41 peratus pada 2020 berbanding 32 peratus pada 2010.

Kerajaan pada masa sama mahu memberi sokongan kepada perusahaan mikro yang merupakan 77 peratus daripada PKS supaya dinaik taraf menjadi perniagaan yang lebih besar.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pelan Induk PKS berperanan sebagai game changeryang akan melonjakkan sumbangan PKS kepada ekonomi, seterusnya membawa pembangunan ke tahap lebih tinggi menerusi pertumbuhan yang dipacu inovasi.

Kata Perdana Menteri, sejumlah 32 inisiatif termasuk enam program berimpak tinggi serta langkah-langkah pelengkap yang lain disaran di bawah pelan induk tersebut.

''Empat matlamat utama pelan induk ini ialah meningkatkan pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan berinovasi, meningkatkan tahap produktiviti serta mempergiat pemformalan perniagaan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pelan induk tersebut di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menurut Najib, Pelan Induk PKS adalah pelan sepanjang hayat yang dinamik dan fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan persekitaran bagi mencapai hasil optimum dalam menggalakkan pertumbuhan PKS.

Beliau berkata, pelan induk tersebut adalah untuk semua sektor dan menjangkau segenap lapisan masyarakat termasuk usahawan bumiputera dan mikro.

''Umpamanya program keterangkuman inovasi merupakan salah satu daripada program berimpak tinggi di bawah Pelan induk PKS, ia disasarkan kepada golongan 40 peratus terendah dalam piramid pendapatan.

''Program ini bertujuan memperkasa golongan ini dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan sosial masyarakat. PKS dengan kadar pertumbuhan pesat pula akan diberi sokongan untuk menjadi jaguh tempatan," katanya.

Najib berkata, Pelan Induk PKS yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia adalah berdasarkan kepada bukti dan analisis terperinci selain menerap amalan yang terbukti berkesan.

''Pelan induk ini mengutamakan penyampaian menerusi pembangunan mekanisme penilaian dan pemantauan bagi mencapai hasil yang disasarkan.

''Untuk tujuan ini, peranan serta fungsi SME Corp. perlu diperkukuh dan diperkasa bagi membolehkannya bertindak sebagai peneraju kepada pelan induk ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment