My Add

Thursday 12 July 2012

ASEAN, China 'bergelut'

PHNOM PENH, RABU, 11 Julai, 2012: Negara-negara anggota Asia Tenggara (ASEAN) dan China, hari ini 'bergelut' untuk merangka kod etika bagi digunakan untuk menyelesaikan isu pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan, kata sumber diplomat.

Kedua-dua pihak terbabit dijadual mengadakan pertemuan pada sidang kemuncak 10 negara anggota ASEAN yang akan menyusul selepas berakhirnya mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN di Kemboja, ketika wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak berhubung kod yang perlu dimasukkan dan cara untuk melaksanakannya.

Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-45 bermula di sini kelmarin dan akan berakhir pada Jumaat ini.

Satu kenyataan bersama menteri-menteri luar ASEAN yang sepatutnya dikeluarkan, semalam juga terpaksa ditangguhkan ekoran perbalahan sesama negara anggota, sama ada mahu memasukkan isu pertikaian yang berlaku baru-baru ini di wilayah maritim yang kaya dengan hasil minyak membabitkan China dengan Vietnam dan Filipina di dalam kenyataan bersama itu.

"Menteri-menteri Luar ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar untuk menyelesaikan perkara berkaitan kandungan dalam kenyataan bersama itu berhubung pertikaian di Laut China Selatan," kata seorang diplomat Asia yang enggan dikenali.

Dikatakan turut berlaku 'perbezaan dan perpecahan' dalam pertubuhan serantau itu, terutama antara Filipina dan Kemboja selaku pengerusi mesyuarat yang merupakan sekutu China.

Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa mengakui bahawa perbahasan mengenai sama ada mahu insiden yang berlaku baru-baru ini, termasuk pertembungan antara kapal Filipina dan China di Terumbu Scarborough pada bulan lalu disebut dalam kenyataan bersama itu, terus menjadi halangan utama.

"Amat penting bagi kami untuk menyatakan kebimbangan kami terhadap apa yang berlaku, sama ada ia berlaku di kawasan terumbu itu atau di mana-mana kawasan pelantar di rantau ini.

"Tetapi yang lebih penting adalah memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang," katanya kepada pemberita.

Manila mengetuai tekanan bagi menggesa ASEAN bersatu untuk memujuk China agar menerima kod etika Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung undang-undang sempadan perairan yang akan menetapkan kawasan maritim milik negara-negara terbabit.

China pula menyatakan bahawa ia bersedia untuk membincangkan kod yang lebih terhad bertujuan 'membina kepercayaan dan meningkatkan kerjasama' tetapi bukan kod yang akan digunakan bagi menyelesaikan pertikaian di wilayah maritim itu, kerana Beijing mahu menyelesaikan isu tersebut dengan mengadakan rundingan dengan negara-negara terbabit secara berasingan. - AFP

No comments:

Post a Comment