My Add

Thursday 5 July 2012

Bantu beri persepsi positif negara

NAJIB melambaikan tangan kepada orang ramai sbil diperhatikan Duta Teksi Pelancongan, Mohd. Zambahari Ismail sewaktu menaiki teksi mengelilingi sekitar Putrajaya, semalam. Terdahulu beliau hadir merasmikan program Duta Teksi Pelancongan di Dataran Putra bersama lebih 2,000 pemandu teksi. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
PUTRAJAYA, RABU, 04 Julai, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemandu teksi membantu kerajaan memberikan persepsi positif kepada orang ramai terutamanya pelancong asing terhadap negara.

Sebagai duta teksi pelancongan, beliau berkata, mereka harus sedar melalui interaksi dapat membentuk persepsi yang positif atau sebaliknya sebaik sahaja penumpang masuk ke dalam teksi.

Katanya, pemandu teksi yang sopan, beradab tinggi, sentiasa senyum dan mesra menceritakan perkara-perkara baik mengenai Malaysia dapat memberikan gambaran baik kepada negara.

''Pelancong akan merasakan mereka melancong ke sebuah negara di mana rakyatnya sedia menerima pelancong dengan layanan yang amat baik dan menyenangkan hati mereka.

''Lakukanlah yang terbaik untuk menaikkan imej negara kerana tuan-tuan dan puan-puan merupakan sebahagian yang saya anggap sebagai kumpulan yang menjadi nadi kepada ekosistem kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 pemandu teksi semasa melancarkan program Duta Teksi Pelancongan sebagai usaha mempromosi keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di Dataran Putra di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pelaksanaan program Duta Teksi Pelancongan bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan penerapan amalan nilai etika kepada para pemandu selain memupuk jalinan kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan penggiat industri pelancongan.

Seramai 4,000 pemandu teksi akan dilantik sebagai Duta Teksi Pelancongan melalui 40 siri kursus sehari di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) membabitkan pemandu teksi bajet, teksi limo dan teksi eksekutif.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemandu teksi yang telah mendapat latihan dan panduan dalam memberikan layanan terbaik kepada pelanggan boleh membantu melonjakkan imej negara ke tahap lebih tinggi.

''Jangan buat perkara yang tidak menyenangkan pelanggan, kalau kurang senyum latih diri untuk mudah senyum, kalau ada masalah di rumah jangan bawa waktu memandu teksi, kalau ada cerita, cuma cerita yang baik tentang Malaysia dan masalah kalian akan terus diperjuangkan oleh kerajaan," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kerajaan melalui SPAD akan menggubal satu model baru yang lebih menumpukan kepada soal kebajikan para pemandu teksi .

Sementara itu, Syed Hamid ketika ditemui pemberita berkata, pemandu teksi yang mengambil bahagian dalam program tersebut akan diberi insentif RM100 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, insentif tersebut akan ditarik balik jika pemandu teksi berkenaan didapati melanggari syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, kajian penambahbaikan sistem perkhidmatan teksi untuk menjaga kebajikan pemandu akan dikemukakan kepada kerajaan sebelum hujung bulan ini.

''Kita sedang kaji bentuk dan mencari kaedah terbaik untuk meringankan beban pemandu agar mereka tidak berasa tertekan dan dizalimi, justeru kita harap dap - utusanat membentuk syarikat yang dapat menjaga kepentingan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment