My Add

Thursday 12 July 2012

Bincang tuntutan Dong Zong

*ABDUL Latiff Abu Bakar bercakap mengenai pendirian Gapena mengenai isu tuntutan bahasa Mandarin oleh Dong Zong di Rumah Gapena, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Julai, 2012: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersedia mengadakan perbincangan dengan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dalam menyelesaikan isu tuntutan bahasa Mandarin sebagai antara bahasa utama dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Satunya, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, perbincangan menerusi meja bulat adalah lebih profesional berbanding tindakan Dong Zong yang membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan sehingga dilihat tidak masuk akal.

''Tuntutan mereka itu melampau. Seolah-olah mencabar kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hasrat Dong Zong itu boleh menjejaskan perpaduan antara kaum di negara ini.

''Kami lebih gembira jika mereka mahu memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina, di samping meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin di sekolah jenis kebangsaan Cina,'' katanya pada sidang akhbar mengenai tuntutan Dong Zong, di sini hari ini.

Sebelum ini, Dong Zong turut menuduh Kerajaan Pusat mengetepikan sekolah jenis kebangsaan Cina daripada sistem pendidikan negara dan berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tindakan persatuan terbabit.

Abdul Latiff berkata, Dong Zong perlu melihat semula undang-undang dan Perkara 152 Perlembagaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia adalah bahasa Melayu agar tidak terus keliru.

''Ini isu sensitif, ia membabitkan isu keselamatan. Oleh itu, semua pihak tidak boleh mudah goyah terhadap tuntutan seperti itu. Kita tidak boleh berkompromi dalam semua perkara terutama berkaitan Perlembagaan,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya dapat mengimbangi tuntutan Dong Zong dengan sebaik-baiknya dan tidak mengecewakan pejuang bahasa Melayu.

Menurutnya, Gapena menentang sekeras-kerasnya jika tuntutan Dong Zong itu dilayan kerana bimbang ia akan memporak-perandakan institusi bahasa Melayu dalam kalangan pewaris bangsa.

Katanya, Gapena bersama-sama 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa akan terus memantau mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan atau merendahkan bahasa Melayu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment