My Add

Monday 9 July 2012

"Boleh kritik tetapi bukan hina" - Ketua Hakim Negara

Oleh YULPISMAN ASLI
KOTA BHARU, ISNIN, 09 Julai, 2012: Orang ramai bebas untuk mengkritik badan kehakiman tetapi ia perlulah bersifat membina dan bukan berdasarkan kepada emosi semata-mata.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menegaskan, pihaknya bersikap terbuka kepada teguran dan kritikan orang ramai terutama golongan akademik kerana ia boleh membantu memajukan sistem perundangan negara.

Bagaimanapun tegas beliau, setiap teguran dan kritikan yang diberikan hendaklah berasaskan fakta dan rasional, bukannya bersifat bias serta berasaskan emosi semata-mata.

"Bagilah sebab kenapa tak betul, beri alasan jadi kita boleh perbaiki. Penghakimanan boleh dikritik ia terbuka, mereka boleh menulis dalam akhbar atau jurnal tetapi jangan hina mahkamah.

"Kalau orang nak burukkan, kami tak boleh nak buat apa-apa. Mahkamah adalah satu badan yang begitu lemah. Orang boleh serang saya, kata macam-macam tetapi saya tak boleh jawab melalui debat, tapi boleh jawab melalui penghakiman saja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Hakim-hakim Ke-46 di Hotel Renaissance di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment