My Add

Thursday 5 July 2012

Bukti Anwar gagal selaku Penasihat Ekonomi Selangor

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Julai, 2012: Pendedahan mengenai dakwaan penyelewengan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bernilai hampir RM1 bilion merupakan satu lagi bukti kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi walaupun dilantik Penasihat Ekonomi negeri.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, Anwar yang sering kali mendabik dada mendakwa kononnya ‘pakar’ dalam ekonomi bukan membawa rahmat kepada Selangor mahu pun negara sebaliknya mendatangkan kerugian.

Katanya, semasa menjawat Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Anwar menyebabkan ekonomi Malaysia hampir ranap ketika mata wang negara ‘diserang’ sehinggalah keadaan genting itu berjaya diselamatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ini satu lagi bukti baru episod kegagalan Anwar selepas beberapa siri masalah dan kegagalan yang dicetuskan beliau sebelum ini dalam aspek ekonomi. Sebab itu saya percaya kerajaan PKR Selangor keberatan untuk mendedahkan kertas putih walaupun berjanji mahu berbuat demikian.

“Saya cukup mengenali Anwar, beliau bukan pakar dalam ekonomi. Anwar adalah jenis manusia yang hanya tahu bercakap dan menjanjikan ‘bulan bintang’ tetapi tidak tahu bagaimana membangunkan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa, Kerajaan PKR Selangor terbabit dalam penyelewengan hampir RM1 bilion dan dilakukan dengan berselindung di sebalik pelan ‘menyelamat’ Talam Corporation Bhd. (Talam), dua tahun lalu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut berdepan dakwaan terlibat mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion menggunakan organisasi dan kroni-kroninya, sebagaimana didedahkan dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid.

Dalam pada itu, Muhammad Zahid menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan segera segala pendedahan Tee Yong berhubung skandal penyelewengan tersebut kerana wang bernilai hampir RM1 bilion adalah milik rakyat.

Mengenai penghakiman penuh Mahkamah Tinggi yang mengesahkan berlaku penetrasi oleh Anwar pada dubur Mohd. Saiful Bukhari Azlan, beliau berkata, rakyat perlu membuka mata dan menilai Ketua Pembangkang itu mempunyai nilai moral yang sangat menjijikkan.

“Saya percaya Anwar kini berada dalam keadaan sangat tertekan kerana sudah pasti rakyat menilai penghakiman penuh ini serta akan menolak pemimpin yang terbabit dalam perilaku liwat dan sekarang beliau hanya bergantung kepada penyokong tegar pembangkang sahaja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment