My Add

Saturday 14 July 2012

Dr Ling lupa bawa kad pengenalan ke mahkamah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, yang diperintah membela diri dalam kes membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Tinggi di sini, terlupa membawa kad pengenalannya. 

Beliau yang juga saksi utama hanya menyedari ketiadaan dokumen itu ketika diminta menyerahkannya kepada jurubahasa mahkamah sebelum mengangkat ikrar untuk memberi keterangan. 

Pada mulanya, Dr Ling memberi isyarat kepada isterinya, Toh Puan Ena Ling, dan dua anak lelaki mereka, Hee Liong dan Hee Keat, bagi menanyakan perkara itu tetapi semua menyatakan tidak membawa dokumen tersebut. 

Dr Ling yang pernah berkhidmat selama 17 tahun bersama kerajaan, bagaimanapun dibenar memberi keterangan atas budi bicara Hakim Datuk Ahmadi Asnawi. 

Pada kebiasaannya, setiap saksi yang memberi keterangan perlu menyerahkan kad pengenalan masing-masing untuk merekod data peribadi seperti nama penuh dan alamat tetap. 

Sementara itu, pada prosiding hari ini, Dr Ling berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selalu membantu beliau dan bertanya kepada anggota Kabinet sama ada mereka mempunyai sebarang komen atau idea sebelum membuat sesuatu keputusan. 

Dr Ling berkata, beliau memaklumkan Dr Mahathir berhubung projek PKFZ bagi mendapatkan bantuan kewangan dan sokongan daripada kerajaan. 

"Saya beritahu Tun Dr Mahathir kerana jika beliau berminat, Kabinet juga akan berminat," katanya ketika menjawab soalan peguam Wong Kian Kheong. 

Beliau berkata, Tun Dr Mathathir juga dimaklumkan bahawa untuk melaksanakan projek itu, Kementerian Pengangkutan memerlukan tanah seluas 332 hektar (830 ekar) di Pulau Indah. 

Katanya, pada setiap masa yang material, tidak seorangpun pegawai di kementerian itu dimaklumkan bahawa memo bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, bertarikh 18 Mei 1999 (berhubung perbincangan cadangan pembelian tanah di Pulau Indah) adalah salah dan harga bagi nilai tanah itu bukan RM25 sekaki persegi (skp). 

Dr Ling juga berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang memo kerana tugas itu dilakukan pegawainya. 

Terdahulu, beliau berkata idea untuk membangunkan projek itu timbul selepas melawat Zon Bebas Antarabangsa Jebel Ali di Dubai dan berpendapat ia mampu mempertingkat ekonomi negara. 

Dr Ling, 68, dibicarakan atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek PKFZ, membabitkan RM1.08 bilion. 

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. 

Perbicaraan bersambung Isnin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment