My Add

Saturday 14 July 2012

3 lelaki larikan barangan kemas bernilai RM3 juta

BUTTERWORTH, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour Seberang Jaya, di sini. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, ACP Mohd Nasir Salleh, berkata dalam kejadian 2.15 petang tadi, tujuh pekerja dan seorang pelanggan berada dalam kedai itu. 

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit memasuki kedai emas dan menyamar sebagai pelanggan dengan meminta pekerja kedai emas itu mengeluarkan rantai-rantai emas untuk dibeli oleh mereka. 

"Selepas permintaan mereka dilayan, ketiga-tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol serta mengacukannya kepada pekerja dan seorang pelanggan tadi sambil memberi amaran jangan bergerak," katanya kepada pemberita di sini. 

Katanya, perompak itu menjadikan salah seorang pekerja kedai emas itu sebagai tebusan dengan mengacu pistol di kepalanya manakala pekerja lain diarah memasukkan barangan kemas dalam sebuah beg dengan cepat sebelum mereka melarikan diri. 

Mohd Nasir berkata, perompak berusia antara 20 hingga 30 tahun terbabit dipercayai warga asing kerana bertutur dalam bahasa Hokkien dan bahasa Melayu yang agak pelat. 

Katanya, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan berada dalam sebuah bilik kaca di premis itu tetapi tidak sempat buat apa-apa kerana ia berlaku dengan pantas. 

"Tiga lelaki berkenaan menggunakan kesempatan orang ramai yang berada di dalam pasar raya itu untuk melarikan diri ke tingkat bawah pasar raya itu," katanya. 

Katanya, mereka kemudian melarikan diri dengan dua motosikal bersama seorang lagi rakan yang menunggu di tingkat bawah pasar raya itu. 

"Tiada pekerja yang cedera dalam kejadian itu namun mereka masih trauma dengan kejadian itu kerana ia adalah kejadian rompakan ketiga membabitkan kedai emas terbabit," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga masih meneliti rakaman kamera litar tertutup di kedai emas tersebut serta pasar raya besar itu untuk mendapatkan gambaran jelas kesemua suspek. 

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment