My Add

Monday 2 July 2012

FGV diramal kekal kukuh, stabil

SHAH ALAM, ISNIN, 02 Julai, 2012: Penganalisis menjangkakan harga saham Felda Global Ventures Holding (FGV) yang meneruskan momentum pergerakan positifnya selepas mencatatkan prestasi memberangsangkan sejak penyenaraiannya 28 Jun lalu, akan kekal kukuh dan stabil.

Dalam urus niaga pertamanya di Bursa Malaysia, pada Khamis, saham FGV meneruskan momentum pergerakan positifnya selepas mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Pada penutup urus niaga, kelmarin, harga saham syarikat komersial Felda itu ditutup RM5.32 sesaham, meningkat dua sen atau 0.38 peratus berbanding penutup petang Khamis.

Saham syarikat perladangan sawit senaraian awam ketiga terbesar dunia itu terus menarik perhatian pelabur apabila menerima tempahan belian 23.68 juta saham sepanjang urus niaga Jumaat, mengatasi jumlah jualan 14.51 juta.

Secara keseluruhannya, sejumlah 38.19 juta saham FGV bernilai RM202.44 juta bertukar tangan semalam, meletakkannya antara kaunter paling aktif.

Penganalisis menjangkakan momentum positif harga saham FGV itu dapat dikekalkan minggu depan berdasarkan prestasi kukuh pada dua hari pertama itu.

Berikutan prestasi kukuh saham itu, penganalisis juga menjangkakan bahawa harga saham FGV dijangka diniagakan sekitar RM5.50 minggu depan.

Ketua Jaringan Kuliyyah Ekonomi dan SainsPengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, kestabilan itu disokong perkembangan positif pasaran global yang memihak kepada pasaran saham tempatan.

Katanya, ekonomi dunia yang memberangsangkan ditambah pula harga minyak kelapa sawit yang stabil menyumbangkan kestabilan saham FGV.

Bagaimanapun katanya, sebagai prospek yang kukuh, pengurusan Felda mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam memastikan ia diurus dengan baik.

“Meskipun Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH) adalah dua pelabur institusi tempatan yang mendapat saham terbesar daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) FGV, ia tidak memberi jaminan, kestabilan tersebut akan berterusan nanti,” katanya.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor pula berkata, Felda sebagai entiti yang dikenali dan kukuh dijangka tidak akan terlalu terkesan meskipun pasaran dunia jatuh.

Katanya, dengan adanya intitusi kerajaan sebagai pelabur utama FGV, harga pasaran tidak akan jatuh menjunam.

‘Sudah tentu setiap penyenaraian mempunyai pelbagai impak, tetapi dengan trek rekod dan aset yang banyak, ia akan menjadi faktor penarik kepada FGV," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment