My Add

Monday 2 July 2012

Kawat kesal Twitter Butler sifatkan wartawan parasit

Peter James Butler
KUALA TERENGGANU, ISNIN, 02 Julai, 2012: Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) menganggap Peter Butler seorang yang tidak profesional kerana mengeluarkan kenyataan di laman sosial Twitter miliknya, yang menyifatkan wartawan sebagai parasit.

Presiden Kawat Ayob Mamat berkata beliau kecewa dengan kenyataan ketua jurulatih pasukan bola sepak Terengganu yang berasal dari England itu.

Beliau berkata sebagai seorang jurulatih profesional, Butler tidak wajar mengeluarkan kenyataan sebegitu, sebaliknya harus menerima keadaan semasa pasukan bimbingannya.

"Sebagai seorang jurulatih, beliau perlu menerima keadaan dan bukannya memandang sinis kepada wartawan hanya kerana wartawan tidak sehaluan dengannya.

"Sebaliknya, beliau wajar melihat dirinya dan menggunakan ruang yang ada bagi memperbetul keadaan pasukannya yang semakin ketinggalan, dan bukan menyalahkan pihak lain," katanya kepada Bernama.

Twitter bekas jurulatih Kelantan itu menyatakan 'I have to laugh at journalist - they wanna be ur friend when the limelight but when ur having a tough time they r nowhere - parasite'.

Butler kemudian memohon maaf setelah kenyataannya itu mengundang reaksi sinis banyak pihak.

Jurulatih itu mendakwa komen tersebut hanya ditujukan kepada wartawan tertentu yang membuat laporan berbeza daripada apa yang diperkatakannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu Datuk Che Mat Jusoh berkata Butler sepatutnya berfikir dua kali sebelum membuat komen pada masa akan datang, walaupun ia dalam media sosial.

"Bagaimanapun, saya menyeru kepadanya untuk menjadi lebih bijaksana pada masa akan datang... wartawan dan semua media adalah kawan dan rakan kami," katanya.

Beliau kesal dengan salah faham yang berlaku akibat kenyataan Butler di Twitter itu, namun memberi jaminan kepada semua bahawa perkara tersebut tidak akan berulang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment