My Add

Monday 16 July 2012

Finas lancar operasi kesan pusat karaoke haram

BUTTERWORTH, ISNIN, 16 Julai, 2012: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini menjalankan operasi bersepadu di seluruh negara bagi mengesan pusat karaoke yang tidak mempunyai lesen daripada agensi itu.

Ketua Penguat Kuasa dari ibu pejabat Finas, Hairudin Tumiran berkata pusat karaoke yang beroperasi tanpa lesen Finas akan berdepan tindakan undang-undang dan sita.

Pada masa yang sama Finas juga akan menjalankan operasi ke atas premis yang melakukan aktiviti berkaitan cetak rompak, katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi ke atas sebuah premis karaoke, di sini malam tadi.

Mengenai operasi itu, Hairudin berkata premis terbabit sudah diberi amaran sebanyak dua kali dalam tempoh dua bulan lepas agar memohon lesen daripada Finas untuk menjalankan aktiviti karaoke.

Hasil serbuan pukul 11.30 malam itu, Finas merampas pelbagai barangan audio visual serta pemain cakera padat bernilai RM150,000.Finas menyerbu sebuah premis perniagaan di Sungai Petani, Kedah yang menjalankan aktiviti menyalin cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak.

"Serbuan itu dilakukan pada pukul 6 petang semalam dan ketika itu terdapat seorang lelaki berusia 40-an dan wanita,26, yang sedang bekerja di premis berkenaan," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati pemilik premis itu menjalankan aktiviti menyalin filem dan lagu karaoke di situ sejak dua tahun lepas.

"Kita merampas lebih 500 VCD dan DVD filem serta karaoke dan pelbagai barangan yang digunakan untuk aktiviti itu bernilai RM30,000 dan siasatan mendapati sindiket itu mengedarkannya di sekitar Sungai Petani dan Baling, Kedah," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 22 (1) Akta Finas dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment