My Add

Monday 16 July 2012

Isu Bukit Kepong: Bicara Mat Sabu diteruskan

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, ISNIN, 16 Julai, 2012: Perbicaraan kes Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung dakwaan memfitnah berkaitan isu Bukit Kepong dan komunis akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya.

Kes itu telah ditetapkan untuk sebutan esok tertakluk kepada keputusan hari ini.

Beliau didakwa berhubung kenyataannya mengiktiraf pengganas komunis terutama Ahmad Indera atau Mat Indera sebagai hero sebenar dan pejuang kemerdekaan negara dalam tragedi Bukit Kepong.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Datuk K.N. Segara dan Datuk Azhar Ma'ah memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal pendakwa raya.

Kuorum itu berpuas hati bahawa perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap permohonannya bukan satu keputusan muktamad yang membolehkannya merayu di peringkat ini.

Dengan keputusan itu, Mohamad gagal dalam usahanya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya agar pertuduhan memfitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, dibatalkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim mewakili pihak pendakwaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment