My Add

Sunday 15 July 2012

Hantar lebih ramai pelajar ke Indonesia - PAPTI

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 Julai, 2012: Penghantaran lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di Indonesia mampu mengurangkan masalah salah faham rakyat negara itu terhadap Malaysia.

Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir berkata, ini kerana para pelajar berkenaan mampu menjadi penyalur maklumat yang tepat tentang negara ini secara terus kepada masyarakat negara jiran itu.

Bagaimanapun, katanya, pelajar-pelajar yang dihantar itu perlulah mempunyai latar belakang sosial budaya yang sama dengan masyarakat di Indonesia agar mengelak tanggapan lebih buruk tentang negara ini.

“Apabila tugas menguruskan penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia dilakukan oleh ejen-ejen swasta, kami bimbang mereka lebih mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan sosial politik kedua-dua negara.

“Oleh sebab itu kami menggesa kerajaan menghantar terus pelajar-pelajar berkenaan menerusi agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan usul hubungan baik Malaysia dan Indonesia sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-20, di Kelab Sultan Sulaiman, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah International Institut for Global Health, United Nation University (UNU-IIGH), Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yassin.

Dr. Shamsul Bahar berkata, pelajar-pelajar berkenaan boleh mengikuti bidang-bidang pengajian seperti kesenian dan kebudayaan, hubungan antarabangsa, sosial dan politik, kesusasteraan dan lain-lain serta tidak hanya dalam bidang perubatan dan pergigian semata-mata. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment