My Add

Thursday 26 July 2012

Hasil kajian imej Najib atasi Anwar, Nik Aziz

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012: Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 76 peratus rakyat berpandangan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain kajian yang dilakukan oleh UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menggambarkan Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan cerah untuk menawan semula Selangor dan Kedah yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Bagaimanapun BN dijangka terpaksa bekerja keras untuk menang di Pulau Pinang yang dikuasai DAP dan Kelantan yang ditadbir oleh Pas atas beberapa faktor termasuk isu perkauman serta ketaksuban terhadap pemimpin.

Pengarah Jabatan Geografi UKM, Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada Mac dan April lalu, secara purata 87.4 peratus daripada rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan umur layak mengundi menyokong Najib.

Menurut beliau, Najib juga mendapat sokongan daripada 75 peratus kaum Melayu, 69.6 peratus kaum Cina, 71 peratus kaum India, 85.5 peratus kaum Iban dan 84 peratus kaum bumiputera di Sarawak.

''Keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Najib yang menerajui BN adalah berpunca daripada pelbagai transformasi bersifat populis dan praktikal yang berupaya menarik sokongan semua golongan.

''Antaranya pendekatan yang digunakan ialah media sosial seperti Facebook dan Twitter, konsep 1Malaysia, transformasi politik, petunjuk prestasi utama (KPI), Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Rumah Pertamaku dan program pembangunan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya dalam sesi bertajuk 'Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan?' pada Perbincangan Meja Bulat bertema 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa?' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Jelas beliau, kajian tersebut turut mendapati UMNO dan BN mempunyai kelebihan untuk merampas Kedah daripada tangan Pas dan sekiranya senario itu berlaku, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menjadi pilihan rakyat sebagai Menteri Besar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment