My Add

Friday 20 July 2012

JAIPK lancar sistem e-nikah permudah urusan pelanggan

IPOH, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK) hari ini melancarkan sistem e-nikah bagi memudahkan urusan perkahwinan, penceraian, ruju' serta khidmat nasihat pada pelanggannya.

Pengarah JAIPK Datuk Mohd Yusop Husin berkata sistem e-nikah itu juga merupakan usaha jabatan bagi meningkatkan perkhidmatan yang lebih terurus untuk kemudahan kepada orang ramai.

"Sistem itu telah diguna pakai sejak awal tahun ini. Kita telah uar-uarkan kepada semua peserta kursus praperkahwinan di seluruh negeri.

Permohonan kebenaran berkahwin adalah yang paling banyak diterima pihak kami melalui sistem ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem itu dan buku teks pelajar aliran Azhariah pada perhimpunan JAIPK di Kompleks Islam Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata sistem itu turut membantu JAIPK mengumpulkan data peribadi pelanggannya dalam satu sistem yang lebih baik dan ia menyegerakan jabatan itu sekiranya mahu membuat semakan serta carian maklumat.

Selain permohonan kebenaran berkahwin, pelanggan boleh menggunakan aplikasi itu untuk semakan status pendaftaran perkahwinan, perceraian dan ruju', permohonan cabutan perakuan perkahwinan, perceraian dan ruju', permohonan sesi khidmat kaunseling dan semakan tarikh serta tempat sesi temujanji khidmat kaunseling, katanya.

"Sebelum ini permohonan dibuat secara manual dan ia mengambil masa yang lama selain memerlukan pelanggan untuk selalu datang ke pejabat agama untuk urusan berkenaan. Cara lama itu agak menyukarkan orang ramai," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Yusop turut melancarkan lapan buah buku teks Tingkatan Satu untuk pelajar aliran Azhariah di lapan buah Sekolah Menengah Agama negeri dan 43 Sekolah Menengah Agama Rakyat.

Beliau berkata buku teks mata pelajaran Nahu, Tafsir, Tauhid, Soraf, Hadis, Muthala'ah, Sirah Nabawiah dan Fikah itu akan digunakan oleh pelajar itu yang mengambil 17 mata pelajaran termasuk subjek akademik, hafazan dan Al-Quran.

JAIPK berusaha untuk menerbitkan buku teks bagi semua tingkatan pada tahun depan selain buku teks untuk Kelas Fardhu Ain dan Al-Quran (KAFA) yang akan digunakan oleh 3,000 guru KAFA tidak lama lagi, katanya.

Sementara itu berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah Sekolah Menengah Agama negeri di Kampung Gajah dekat sini mengalami lembam-lembam akibat dipukul oleh 18 rakannya, Mohd Yusop berkata sekolah berkenaan telah menjalankan siasatan dalaman.

"Hukuman sama ada dibuang sekolah atau digantung atau sebaliknya adalah bergantung kepada lembaga disiplin sekolah berkenaan. Pelajar berkenaan telah mengambil tindakan sendiri, pelajar yang cedera itu pula tidak mahu meneruskan pembelajaran di sekolah itu," katanya.

Beliau berkata ibu mangsa berhak untuk membuat apa-apa tuntutan dan pihak sekolah mempunyai banyak pertimbangan yang perlu dibuat.

Pada 15 Julai lepas, Muhammad Fareez Akmar Mustapa, 16, mengalami lebam-lebam akibat dipukul oleh rakan-rakannya kerana dikatakan mencuri wang RM100 milik seorang pelajar di asrama sekolah itu pada 1.30 pagi.

Dalam kejadian selama kira-kira tiga jam itu, mangsa dibawa ke sebuah bilik di asrama terbabit sebelum dipukul dengan objek keras menyebabkan dia lebam di belakang badan, betis, peha dan muka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment