My Add

Friday 20 July 2012

Jakim lulus sijil halal kepada 359 hotel, 453 premis

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meluluskan permohonan sijil halal kepada 359 hotel dan 453 premis yang ingin mengadakan bufet Ramadan sehingga kini. 

Sehubungan itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata pengusaha hotel dan premis makanan yang belum memohon sijil halal perlu berbuat demikian sebelum mengadakan promosi bufet Ramadan.

"Jakim kini turut mengadakan hubungan erat dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Pemilik-Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) bagi memberi kesedaran tentang kepentingan mempunyai sijil halal kepada ahli mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Othman berkata Jakim juga telah melakukan pemantauan ke atas 471 premis makanan termasuk dapur hotel dan daripada jumlah itu sebanyak 154 premis telah menerima amaran supaya memohon atau memperbaharui sijil halal mereka.

"JAKIM masih melakukan pemantauan kepada 154 premis yang dikenakan amaran, dan sekiranya mereka masih tidak mengemukakan permohonan sijil halal sehingga hujung Julai ini, tindakan akan diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Othman turut menasihatkan umat Islam supaya bijak memilih hotel dan premis makanan yang menawarkan bufet Ramadan dan memilih premis yang telah diperakui halal oleh JAKIM/ Majlis Agama Islam Negeri (Main) bagi mengelak daripada was-was.

Umat Islam boleh menyemak senarai hotel yang mendapat sijil halal Jakim/Main di www.halal.gov.my.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment