My Add

Friday 20 July 2012

Jurujual didenda RM800 intai wanita buang air kecil

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Gara-gara mengintai seorang wanita membuang air kecil dalam tandas, seorang jurujual didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Bobby Ng Hock Ann, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengintai wanita berusia 33 tahun itu dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita terbabit. 

Dia yang tinggal di Taman Bukit Maluri, Kepong, didakwa melakukan kesalahan itu di tandas wanita, Aras LG, Kompleks Desa, Jalan Kepong, Kepong di sini pada jam 11 pagi, semalam. 

Dia didakwa mengikut seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memanjat dinding di tandas bersebelahan tandas wanita itu dan kemudian mengintai dari atas semasa wanita itu membuang air kecil. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri memberitahu mahkamah bahawa kesalahan yang dilakukan Ng adalah serius. 

"Saya mohon maaf atas kejadian itu. Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama kerana saya budak baik dan tidak ada rekod jenayah," katanya sambil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepadanya. Ng membayar denda terbabit. 

Di Mahkamah Majistret berasingan, seorang pengawal kelab didenda RM400 atau penjara empat hari selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki sepasang gari dan anak kunci gari itu, sedangkan dia bukan seorang anggota polis. 

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Asri Zainuddin, 24, yang didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Abdullah, Dang Wangi pada jam 11.35 malam, 12 Julai lepas. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 89 (a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment