My Add

Friday 20 July 2012

Sukan Sea 2017: MOM patut serah kertas kerja

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mencadangkan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 sepatutnya mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada umum. 

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, penganjuran temasya sukan besar seperti Sukan SEA perlu dibincangkan dengan teliti, khususnya mengenai implikasi kewangan sebelum keputusan dibuat. 

"Saya tidak rasa MOM mampu menganjurkan kejohanan tersebut tanpa bantuan kerajaan, tetapi jika MOM memang sudah mempunyai sumber kewangan yang cukup, pihak MSN akan meluluskannya dengan rasa gembira. 

"MSN sudahpun mempunyai pengalaman menganjurkan temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan SEA, jadi ia bukanlah satu masalah bagi kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketua kontinjen bersama pengurus pasukan Paralimpik London di Kompleks Sukan Negara, dekat sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan MOM pada Rabu lepas yang Malaysia bersetuju menganjurkan Sukan SEA 2017 setelah Brunei Darussalam yang sepatutnya menjadi tuan rumah pada tahun itu memutuskan untuk menganjurkan edisi 2019. 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi reaksi negatif terhadap kenyataan MOM itu dengan menegaskan keputusan tersebut sepatutnya mendapat kelulusan kabinet sebelum diumumkan. 

Mengulas lanjut, Zolkples berkata, Malaysia juga masih kekurangan atlet handalan dalam sukan pilihan seperti judo dan gusti untuk diturunkan pada Sukan SEA 2017. 

"Jika kita menjadi 'host' pada 2017 dan mahu menganjurkan acara sukan pilihan, kita juga perlu menyediakan atlet-atlet yang mampu memberi saingan. 

"Tapi 2017 itu bukanlah lama lagi, kita tidak mempunyai cukup masa untuk berbuat demikian," katanya. 

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2001 dan sebelum itu pada 1989 dan 1977. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment