My Add

Thursday 19 July 2012

Kabinet luluskan hab pendidikan tinggi Pagoh: Muhyiddin

MUAR, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kabinet bersetuju meluluskan cadangan pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh fasa pertama dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Beliau berkata, keputusan itu diluluskan semalam dan projek yang bercirikan pembangunan mesra alam akan dibina fasa demi fasa bermula hujung tahun ini dengan membabitkan pembinaan tiga buah universiti dan sebuah politeknik. 

Katanya, universiti pertama yang akan dibina ialah Universiti Tun Hussein Onn (UtHM) memandangkan kawasan kampus induk yang ada sekarang di Batu Pahat tidak lagi boleh diperbesarkan. 

"Universiti lain yang akan dibina ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta sebuah politeknik yang mana kita akan bina semua ini secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Mesra Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pesara-pesara Kerajaan Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini, hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kesemua universiti berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 202 hektar dan akan menggunakan ulititi secara guna sama seperti kompleks sukan dan perpustakaan yang akan turut dibina di kawasan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment