My Add

Thursday 19 July 2012

Malaysia perlu pemimpin muda bangunkan negara: Najib

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Malaysia memerlukan pemimpin belia yang mempunyai iltizam, semangat dan motivasi serta cita-cita yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta merubah landskap negara ke arah yang lebih baik.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru pemimpin muda agar menjadi ketua yang bertanggungjawab, beretika dan boleh bergantung harap sebagai generasi penyambung sekaligus menggerakkan transformasi negara. "Saya berasa amat teruja, saya mendapat dorongan kerana saya berkhidmat untuk anda dan kita semuanya untuk anda dan inilah semangat kita. 

"Dasar dan matlamat transformasi negara menyediakan peluang untuk menentukan mobiliti sosial yang lebih hebat lagi dan peluang pekerjaan serta peluang kepada golongan muda hari ini untuk masing-masing mencapai tahap maksimum mereka," katanya ketika berucap melancarkan Sekretariat Pemimpin Muda 1Malaysia For Youth (iM4U) di Bangunan Parlimen hari ini.

Najib turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik di samping membuat perubahan secara lebih sistematik, teratur, tersusun dan berkesan dari segi pelaksanaannya.

"Kalau kita membuat sesuatu tanpa perancangan yang jitu, misalnya jika kita melakukan huru-hara ataupun kita melakukan perubahan yang berbentuk revolusi, kesannya akan lebih teruk daripada kita membuat pembaharuan berdasarkan cara yang lebih sistematik," katanya.

Sekretariat Pemimpin Muda iM4U terdiri daripada 20 orang wakil dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Institut Pendidikan Guru yang memfokuskan kepada program kepimpinan dan sukarelawan di kalangan belia. 

Ia juga akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pelajar bagi meningkatkan daya kepimpinan orang muda dalam semua aspek. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment