My Add

Friday 20 July 2012

Karpal mahu AG kaji semula tuduhan hasutan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012:  Peguam Karpal Singh mahu Pejabat Peguam Negara menimbang semula pertuduhan hasutan terhadapnya berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Karpal Singh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, tiga tahun lalu.

Jagdeep Singh Deo, yang mewakili Karpal Singh memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah bahawa pihak pembelaan mengemukakan sepucuk surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung perkara itu pagi ini.

Katanya pihak pembelaan mahu Pejabat Peguam Negara menimbang semula isu persetujuan untuk mendakwa Karpal Singh mengikut Seksyen 5 Akta Hasutan selaras dengan pengumuman Najib bahawa akta itu akan dimansuhkan.

Pada 11 Julai, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dimansuh dan digantikan dengan akta baharu yang akan dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Hari ini, mahkamah dijadual mendengar permohonan Karpal Singh untuk membatalkan pertuduhan hasutan.

"Kita memohon untuk satu tarikh singkat untuk menunggu respons daripada Pejabat Peguam Negara berhubung representasi itu," kata Jagdeep.

Hakim Azman membenarkan penangguhan kerana terdapat asas kepada permohonan itu dan menetapkan 3 Ogos untuk mendengar permohonan Karpal Singh bagi membatalkan pertuduhan bergantung kepada hasil representasi itu.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dan Azlina Rasdi.

Di luar mahkamah, Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa sudah tidak ada asas untuk mendakwanya berikutan pengumuman Najib itu.

Pada 20 Jan, Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan membuat kenyatan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah opada sidang akhbar pada 2009.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Ma'arop dengan Hakim-Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan pengerusi kebangsaan DAP itu daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

Karpal Singh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb, 2009.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment