My Add

Tuesday 17 July 2012

Kebakaran di Iowa: Kerajaan hulur bantuan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 Julai, 2012: Kerajaan Malaysia akan menghulurkan bantuan kepada pelajar Malaysia yang terjejas dalam kebakaran yang memusnahkan 56 unit South Meadow Apartment di Bandaraya Ames, Iowa, Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersimpati ekoran tragedi yang menimpa 18 pelajar Malaysia dalam kebakaran pada 6 pagi itu.

"Sebagai bapa, saya sesungguhnya amat memahami kebimbangan ibu bapa dan saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semua pelajar Malaysia selamat.

"Berikutan Ramadan menjelang tiba, kerajaan akan menghulurkan bantuan kepada pelajar yang terjejas untuk memastikan mereka boleh meneruskan pengajian tanpa sebarang halangan," katanya di sini malam ini.

Memandangkan sebahagian besar pelajar terbabit adalah pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perdana Menteri berkata kedua-dua agensi itu bertanggungjawab secara langsung terhadap kebajikan pelajar, termasuk mencari kediaman baru dan keperluan lain.

Beliau berkata, kerajaan akan meminta Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis supaya menyelaraskan bantuan yang perlu kepada pelajar yang terjejas.

"Datuk Seri Jamaludin akan turut meneliti penyelarasan bantuan kepada satu-satunya pelajar persendirian.

"Saya memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar Malaysia yang terjejas," tegas Perdana Menteri.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar Malaysia — Mohamad Khairi Zulkarnian, Mohd. Aminuddin Hamid dan Mohd. Khairi Ismail — kesemuanya berumur 21 tahun dan pelajar tahun dua jurusan kejuruteraan di Iowa State University, bergegas keluar dari unit kediaman mereka dengan hanya sempat menyelamatkan telefon bimbit dan dompet masing-masing.

Empat belas lagi pelajar Malaysia yang tinggal di kompleks perumahan itu kebanyakannya sedang bercuti di tanah air atau melancong di sekitar AS. — BERNAMA

Portal berita Iowa State Daily.com melaporkan kira-kira 100 orang yang tinggal di 56 unit South Meadow Apartments kehilangan tempat tinggal, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment