My Add

Tuesday 17 July 2012

GMM pendekatan terbaik menyatukan dunia

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 Julai, 2012: Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan inisiatif penting dalam membawa mesej kesederhanaan kepada dunia.

Titah baginda, gerakan itu juga mampu menyatukan masyarakat antarabangsa daripada pelbagai budaya dan kepercayaan khususnya melibatkan pertembungan antara Barat serta Islam.

"Serangan 11 September 2001 adalah titik perubahan sikap Amerika Syarikat (AS) dan Barat terhadap Islam. Washington dikejutkan dengan serangan terhadap 'simbol' kewangan dan kuasa politiknya dan mereka melakukan tindak balas dengan pantas.

"Ini termasuk tindakan memerangi pengganas, serangan di Afghanistan dan pencerobohan terhadap Iraq.

"Lantaran itu, golongan sederhana Islam didesak menyatakan pendirian terhadap keganasan dan ekstremisme. Namun, bukan mereka sahaja yang patut berbuat demikian, malah, golongan sederhana di Barat juga mesti melakukan perkara sama.

"Dalam hal ini, GMM adalah inisiatif penting dalam merangsang dan menyatukan 'suara' kesederhanaan dalam kalangan pelbagai pihak," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku bertajuk 9/11 and the Attack on Muslims tulisan Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr. Munir Majid di sini hari ini.

Buku setebal 328 muka surat itu antara lain memuatkan 73 artikel tulisan Munir yang disiarkan di akhbar New Straits Times bermula September 2001 hingga Julai 2005 mengenai serangan 11 September dan kesan terhadap Islam.

Baginda bertitah, usaha merapatkan jurang antara dunia Islam dan Barat memerlukan penumpuan terhadap faktor utama yang menyebabkan kedua-dua dunia tersebut berpecah.

Titah baginda, jurang antara dunia Islam dan Barat adalah sebahagian besarnya akibat daripada kegagalan untuk berkomunikasi dan dialog yang berkesan.

"Dialog yang baik membolehkan mereka bertukar pandangan, menjelaskan isu dan salah faham serta mencari persefahaman. Dialog antara negara dan masyarakat Barat serta dunia Islam berguna dalam menangani salah tanggapan selain prejudis yang sering wujud antara kedua-duanya.

"Salah faham adalah lazim antara kedua-dua pihak di zaman Internet ini. Antara putar belit Barat adalah mentafsirkan Islam dan umat Islam dengan keganasan serta Islam tidak serasi dengan demokrasi," titah Raja Nazrin.

Oleh itu, baginda bertitah, kumpulan-kumpulan dalam dunia Islam bertanggungjawab untuk membetulkan perkara tersebut.

"Ini kerana tindakan mereka sendiri yang menggunakan perkataan Islam terhadap pergerakan militan dan melakukan perbuatan ganas atas nama Islam terhadap orang awam yang tidak bersenjata telah menyumbang kepada pemahaman negatif di Barat," tegas baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment