My Add

Thursday 26 July 2012

Kediaman dijadikan tempat berlindung

*MUHAMMAD Afifuddin Md. Tahir (tengah) diberi ciuman ayahandanya, Md. Tahir Ali, 63, sambil diperhatikan ibunya, Ariffah Ahmad, 62, sebaik sahaja pelajar itu tiba di KLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

Oleh SHARAIMEI
SHAIK AHMEDULLAH
SEPANG, RABU, 25 Julai, 2012: Pertempuran Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan tentera kerajaan yang masih setia kepada Presiden Bashar al-Assad pada jarak kurang satu kilometer dari penempatan penuntut Malaysia di Damsyik, memaksa mereka menjadikan kediaman masing- masing sebagai tempat berlindung.

Menceritakan semula pengalaman itu, penuntut tahun pertama Maahad Dauli, Damsyik, Mohd. Luqman Saidin, 23, berkata, mereka yang tinggal di kawasan rumah pangsa dapat melihat dengan jelas pertempuran tersebut terutama pada waktu malam.

Katanya, roket-roket yang dilancarkan oleh kedua-dua pihak bersimpang siur di udara serta helikopter milik tentera kerajaan berlegar-legar untuk menyerang tentera pembebasan.

"Keadaan mula serius Isnin minggu lalu di mana selama empat hari berturut-turut kedua-dua pihak bertempur di jalanan selepas tentera pembebasan mula masuk ke ibu negara, Syria itu.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan hanya berlindung di rumah dan berdoa kepada Allah supaya keadaan pulih seperti sedia kala," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mohd. Luqman merupakan salah seorang daripada kumpulan pertama tujuh penuntut Malaysia di Syria yang tiba ke Malaysia hari ini dengan penerbangan komersial.

Kepulangan mereka berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu penuntut dan warga Malaysia di Syria dibawa pulang ekoran krisis yang semakin meruncing antara puak pemberontak dan pihak kerajaan di negara tersebut.

Menurut Mohd. Luqman, keadaan mula terkawal selepas hari pertama Ramadan, Jumaat lalu namun sesetengah masjid di sana masih dikawal ketat oleh pihak tentera sama ada daripada puak pemberontak mahu pun pihak kerajaan.

"Biarpun keadaan sudah sedikit aman, perasaan takut masih ada terutama ketika mahu pergi ke pasar membeli barang keperluan atau pun ke masjid untuk bersolat kerana terdapat tentera yang berkawal," katanya.

Penuntut Malaysia, tahun kedua Maahad Dauli, Muhammad Afifuddin Md. Tahir, 23, pula berkata, dia dan rakan-rakan menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan harian berikutan kemaraan tentera pemberontak di Damsyik.

Katanya, masalah tersebut bukan sahaja melanda penuntut Malaysia tetapi turut memberi kesan kepada penduduk tempatan yang bergantung kepada roti sebagai makanan asasi.

"Saya dipesan orang Syria yang meminta rakyat Malaysia supaya berdoa agar keadaan di sana kembali pulih. Ini kerana sejak keadaan bergolak makanan tiada, barangan lain dan gas memasak juga susah untuk didapati," katanya.

Sementara itu, penuntut jurusan Usuluddin di Mujamma Sheik Ahmad Kiftaro, Muhammad Hassan Hilmi Hassan Shukri, 21, melahirkan kesyukuran serta berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua pihak kerana membawa mereka pulang dengan selamat.

Katanya, kesemua pihak tersebut terutamanya kedutaan Malaysia di Syria dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sememangnya bertungkus-lumus membawa mereka pulang ke tanah air.

"Semasa meninggalkan Syria keadaan kurang berisiko berbanding minggu lepas, disebabkan itu pihak persatuan pelajar di sana mengambil keputusan untuk membawa pulang penuntut Malaysia.

"Keadaan teruk pada Rabu dan Khamis minggu lalu apabila tembak-menembak berlaku hingga membuatkan kami takut untuk keluar rumah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment