My Add

Tuesday 17 July 2012

Kehijauan Balik Pulau makin lenyap

BALIK PULAU, AHAD, 16 Julai, 2012: Kerajaan DAP Pulau Pinang dibidas kerana terlalu rakus melaksanakan projek pembangunan di sini sehingga didakwa boleh menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata, beliau dimaklumkan terdapat beberapa projek di kawasan tersebut telah diluluskan oleh kerajaan negeri walaupun perkara-perkara teknikal dalam pelan pembangunan belum mendapat kelulusan daripada jabatan berkaitan.

Jelas beliau, sepatutnya sebelum satu-satu projek diluluskan, jabatan-jabatan berkaitan akan mengkaji pelan pembangunan pemaju dan mengemukakan alasan serta cadangan teknikal terhadap projek itu.

"Namun terdapat projek di Balik Pulau mendapat kelulusan tanpa menerusi proses kajian oleh jabatan-jabatan teknikal berkaitan," katanya selepas merasmikan program Semboyan Dibunyikan peringkat Parlimen Balik Pulau di sini semalam.

Dalam pada itu, Chang Yeow berkata, berbeza dengan kerajaan sekarang ini, BN memperkenalkan pelan rancangan pembangunan di sekitar Balik Pulau secara tersusun termasuk pembinaan kemudahan-kemudahan awam seperti institusi pendidikan, mahkamah dan balai polis.

"Malahan ketika saya menjawat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon juga bertekad mempertahankan alam sekitar di Balik Pulau dengan menjadikannya tempat pertanian dan memperlahankan pembangunan.

"Namun, Balik Pulau kini telah hilang rupa alam sekitarnya dan ia seumpama Kuala Lumpur," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment