My Add

Monday 2 July 2012

Kementerian kesal projek sekolah gagal siap ikut jadual

MIRI, ISNIN, 02 Julai, 2012: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi hari ini meluahkan rasa kesal kerana pembinaan blok baru dan surau Sekolah Menengah Sains (SMS) Miri gagal disiap mengikut jadual.

Katanya, projek tersebut sepatutnya siap dua bulan lalu, namun agensi pelaksana projek gagal berbuat demikian dengan pelbagai alasan termasuk kekurangan pekerja. "Saya dah empat kali buat lawatan ke sekolah ini dan kali terakhir Januari lepas. Saya harap projek ini tidak dikategori projek sakit kelak," katanya selepas melawat tapak projek di sini, hari ini.

Pembinaan blok baru dan surau SMS Miri bernilai RM10.9 juta itu bermula November lepas setelah cadangan memindahkan guru dan pelajar dari sekolah itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar dibatal, susulan bantahan banyak pihak kerana kedudukan SMK Tinjar yang terletak 120 km dari Miri selain hanya boleh dicapai dengan kenderaan pacuan empat roda.

Isu itu turut dibawa ke Parlimen untuk kajian semula dan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Mengulas isu lain, Mohd Puad berkata, kementerian itu akan memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Sayed Othman bagi mengatasi masalah anai-anai.

Katanya, peruntukan itu adalah penyelesaian sementara bagi sekolah yang terletak di tengah bandar raya Miri tersebut sebelum cadangan menaik taraf blok sedia dipertimbang.

Beliau berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan RM125.8 juta kepada Sarawak untuk melaksanakan 553 projek di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) yang bermula bulan ini dengan jangkaan siap dari hujung tahun ini sehingga 2014.

Mohd Puad berkata, secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM900 juta untuk semua sekolah di negara ini menerusi PRK. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment