My Add

Monday 2 July 2012

Kekayaan negara bukan hanya untuk subsidi minyak: PM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Julai, 2012: Kerajaan tidak boleh menggunakan semua kekayaan untuk memberi subsidi minyak kerana itu hanya akan meningkatkan penggunaan, kata Perdana Menteri. 

Datuk Seri Najib berkata, jika penggunaan terus ditingkatkan, ini bermakna negara tidak mengumpul aset produktif untuk masa depan. "Dan satu hari nanti minyak pasti akan pupus, minyak akan berkurangan, jumlah minyak pengeluaran akan berkurangan dan pada masa itu kita akan menghadapi satu keadaan yang cukup berat.

"Dan sebab itulah kita mesti gunakan sumber minyak kita dengan bukan saja kepentingan jangka pendek tetapi juga kepentingan jangka panjang negara kita," katanya dalam laman web 1Malaysia (http://1malaysia.com.my). 

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan rakan online beliau, Danny Fentom, kenapa Malaysia sebagai pengeluar minyak tidak menetapkan sendiri harga bahan api itu dan apa gunanya PETRONAS. 

Perdana Menteri menjelaskan Malaysia adalah negara "pengeksport kecil" minyak kerana penggunaan dalaman hampir sama dengan eksport. 

Tambahan pula, katanya, minyak yang dihasilkan negara lebih sesuai untuk pasaran antarabangsa manakala minyak dari negara lain lebih sesuai untuk kegunaan tempatan.

"Selain daripada itu bagi setiap liter petroleum produk yang kita keluarkan termasuk LPG dan diesel, kerajaan sudah memberi sumbangan yang besar kepada rakyat Malaysia melalui jumlah subsidi yang pada masa sekarang ini melebihi RM2 bilion pada tiap-tiap bulan. 

"Dan kalau kita lihat sebagai contoh satu liter RON95 ada jumlah subsidi sebanyak RM0.82 sen satu liter. Maknanya kalau kita bayar RM1.90 satu liter kita sepatutnya bayar RM1.90 campur RM0.82 sen tambahan. 

"Dan kalau kita kira satu tangki penuh maknanya lebih kurang 25 liter kita akan jimat perbelanjaan antara RM25 hingga RM30 sekali kita isi tangki kereta kita sepenuhnya. Ini adalah penjimatan sebenarnya yang kadangkala kita tak sedari," katanya. 

Perdana Menteri juga berkata, harga minyak di Malaysia adalah antara paling rendah di dunia. 

Katanya, di Asia Tenggara, harga minyak di Malaysia adalah yang paling rendah kecuali Brunei Darussalam. 

"Jadi kerajaan sudah memilih satu, mengamalkan satu dasar yang berhemah dan di samping itu kita tidak mampu mengenakan ataupun mengeluarkan subsidi yang terlalu tinggi kerana kita nak gunakan kekayaan minyak kita untuk menyumbang kepada perkembangan ekonomi kita," katanya.

No comments:

Post a Comment