My Add

Tuesday 17 July 2012

Kerajaan tidak kongkong kebebasan media

*MUHYIDDIN Yassin menyampaikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2011 kepada A. Kadir Jasin (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Media, Divisyen Hal Ehwal Korporat Petronas, Abdul Rahim Mydin di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

PETALING JAYA, ISNIN, 16 Julai, 2012: Kerajaan tidak mengongkong dan menyekat kebebasan media sebaliknya sentiasa membantu mewujudkan iklim kondusif bagi membolehkan wartawan dan media terus memainkan peranan dalam menyuburkan demokrasi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, anggapan bahawa kerajaan mengongkong dan menyekat kebebasan media tidak benar sama sekali kerana jika keadaan itu berlaku, tidak mungkin boleh wujud begitu banyak portal berita pro pembangkang.

Bagaimanapun tegas beliau, tiada negara di dunia yang mengamalkan kebebasan media secara mutlak kerana setiap kebebasan itu harus datang dengan nilai tanggungjawab untuk memastikan berita yang dilaporkan mempunyai nilai serta mematuhi etika kewartawanan.

"Bagaimana boleh wujud begitu banyak portal berita dan akhbar pembangkang yang mengkritik, memutar-belit kebenaran serta menghentam kerajaan dengan menyiarkan laporan tanpa fakta yang sahih dan betul jika benar tiada kebebasan media di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi dan menyampaikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 kepada bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Berhad (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin, kerajaan sentiasa menyedari perlunya media di negara ini diberi kebebasan secukupnya untuk membolehkan mereka memainkan peranan melapor dan mengetengah permasalahan serta pemikiran rakyat.

Katanya, sebagai komitmen ke arah kebebasan itu, kerajaan sudah melakukan transformasi dengan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta kuasa mutlak menteri di bawah akta tersebut selain setuju menubuhkan sebuah Majlis Media.

Menyentuh mengenai penganugerahan Tokoh Kewartawanan Negara kepada A. Kadir, beliau berkata, sumbangan tokoh itu dalam bidang kewartawanan bermula pada 1969 hingga sekarang sangat produktif.

"Semoga kejayaan beliau meraih gelaran Tokoh Wartawan Negara akan menjadi inspirasi kepada generasi wartawan pelapis untuk mencipta kejayaan sama malah lebih hebat pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, A. Kadir dalam ucapannya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan mendidik sehingga membawa kejayaan dalam kerjayanya.

"Saya bertuah kerana mempunyai ramai guru yang mendidik saya menjadi seorang wartawan sejati sehingga membolehkan saya melihat dan menganalisis segala spektrum sejarah dan peristiwa yang berlaku dalam negara.

"Saya juga bertuah kerana berpeluang menjadi wartawan dalam era kesemua Perdana Menteri dan untuk menjadi wartawan yang baik, kita mesti ada ketahanan, keberanian serta komited pada ilmu," katanya.

Anugerah Tokoh Wartawan Negara mula diperkenal pada tahun 1988 dan sehingga kini, hanya sembilan wartawan yang dianugerahkan gelaran tersebut.

Mereka ialah Tan Sri A. Samad Ismail (1988), Tan Sri Lee Siew Yee (1992), Datuk Ishak Muhammad (1995), Tun Mohamed Fuad Stephens (1998), Tan Sri Melan Abdullah (1999), Tan Sri Mazlan Nordin (2000), Tan Sri Zainuddin Maidin (2006), Datuk Liew Chen Chuan (2009) dan A. Kadir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment