My Add

Thursday 26 July 2012

Kes Sosilawati: Bicara ditangguh sementara tunggu rayuan

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi sehingga esok, ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu pendengaran rayuan empat tertuduh dalam kes itu bagi mengetepikan keputusan hakim bicara membatalkan sapina yang telah dikeluarkan terhadap tiga timbalan pendakwa raya untuk menjadi saksi pembelaan pada prosiding tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali berpuas hati bahawa jika penangguhan tidak dibenarkan, ia dikhuatiri menjurus kepada perbicaraan yang tidak adil.

Bekas peguam N. Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32 memohon agar perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam ditangguhkan selepas permohonan serupa ditolak oleh hakim bicara pada Isnin lalu.

Pada 23 Julai lalu, Hakim Datuk Akhtar Tahir tidak membenarkan kes itu ditangguhkan sewaktu menolak permohonan mereka untuk memanggil tiga Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani sebagai saksi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment