My Add

Sunday, 29 July 2012

Laman Sejahtera untuk beri ruang ibu tunggal berniaga

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Julai, 2012: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib akan mencadangkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) supaya membina Laman Sejahtera bagi memberi ruang kepada ibu tunggal berniaga. 

Beliau berkata, Laman Sejahtera itu dicadangkan dibina di kawasan Perumahan Penduduk Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam (PA) dengan peruntukan RM5 juta disediakan kerajaan untuk warga PPR dan PA yang berpendapatan rendah memulakan perniagaan berkonsep kiosk. 

"Saya akan mencadangkan kepada KWPKB untuk menggunakan lebihan peruntukan bagi membina Laman Sejahtera ini dan yang pertama akan dibina di kawasan Lembah Pantai," katanya pada sidang media selepas Program Nur Ramadan II di Kepong di sini, hari ini. 

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Presiden Rumah Amal Cheshire Datin Paduka Khatijah Sulaiman @ Sulieman. 

"Apabila diluluskan kelak, tapak Laman Sejahtera akan dibangunkan di kawasan terbabit dan kita akan pastikan ibu tunggal dapat memulakan perniagaan bagi menambah pendapatan mereka," katanya. 

Ahmad Phesal turut mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebersihan di PPR serta PA bagi memastikan penghuni kawasan tersebut meningkatkan tahap kebersihan. 

"Ini bukan pertandingan kerana kita akan menetapkan standard serta kriteria yang perlu diikuti setiap PPR dan PA untuk mencapai KPI terbabit," katanya. 
Beliau berkata, KPI Kebersihan akan dijadikan program tahunan kerana KWPKB memperuntukkan RM1 juta kepada PPR serta PA bagi menjayakan program ini. 

Katanya, KPI Kebersihan ini akan dinilai oleh pasukan penilai yang dilantik dan pemenang akan menerima wang tunai RM20,000 sebagai geran aktiviti kawasan terbabit. 

Ahmad Phesal berharap melalui program itu, penduduk PPR serta PA akan lebih menitikberatkan soal kebersihan serta sentiasa memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment