My Add

Sunday 29 July 2012

Skuad Pengguna akan digerakkan minggu depan

BERA, AHAD, 29 Julai, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menggerakkan 60,000 anggota Skuad Rakan Pengguna minggu hadapan bagi memantau aktiviti perniagaan yang tidak beretika pada musim perayaan ini. 

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skuad berkenaan yang terdiri daripada orang awam termasuk pelajar, penghulu dan ketua kampung akan bertindak sebagai pemantau harga barangan dan perkhidmatan, penyelewengan urusniaga yang tidak beretika dan perkara yang berkaitan dengan kepenggunaan. 

Beliau berkata, Skuad Rakan Pengguna dilantik oleh kementerian, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang melakukan pemantauan secara sukarela melalui konsep membeli-belah sambil memantau dan melaporkan kepada kementerian. 

"Mereka akan digerakkan sebaik sahaja Kabinet meluluskan cadangan 20 jenis barangan kawalan pada musim perayaan seperti ayam, daging, telur dan sebagainya pada Rabu ini," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bayaran durian runtuh peringkat kedua kepada peneroka Felda Mengkuang, di sini hari ini. 

Mengenai cadangan 20 senarai barangan kawalan terbabit, Ismail Sabri berkata, beliau sendiri akan membawanya ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini bagi mendapatkan kelulusan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa kini terdapat seramai 2,000 penguat kuasa dan 1,400 pemantau harga termasuk penghulu yang mempunyai kad kuasa yang turut berperanan bagi memastikan harga barangan dijual mengikut harga yang ditetapkan kerajaan. 

Ahli Parlimen Bera itu juga berkata, pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) sama ada yang berkaitan kepenggunaan mahu pun bukan juga akan memudahkan lagi penyaluran maklumat dan memperkasa suara pengguna yang dapat menstabilkan harga barangan keperluan. 

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melanggar arahan dan peraturan dengan mengenakan tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment