My Add

Thursday 12 July 2012

SPR rampas barangan kempen langgar fatwa agama

IPOH, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Suruhanyajaya Pilihan Raya (SPR) tidak teragak-agak untuk merampas barangan mana-mana pihak seperti kain rentang, cakera padat dan video yang mengeluarkan kenyataan dengan melanggar fatwa agama ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan itu diambil selepas perkara itu dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Isu-isu agama ini sudah bangkit balik dan kita bimbang sekiranya terdapat barangan seperti kain rentang, video dan CD yang mempunyai kenyataan-kenyataan mengenai fatwa yang tidak betul sebagai contoh kain rentang 'undi satu parti masuk syurga'. 

Ini tidak betul dan kita akan turunkan kain rentangnya," katanya kepada pemberita selepas taklimat persediaan PRU-13 kepada pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Pilihan Raya negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah dan Timbalan Setiausaha (Pilihan Raya) SPR Datuk Noordin Che Ngah. 

Beliau berkata, SPR akan bekerjasama dengan polis dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk memantau perkara terbabit agar ia dapat dielakkan. 

Selain itu, SPR juga akan menurunkan kain rentang yang menyentuh peribadi calon parti, mengkritik keputusan mahkamah, mempertikaikan isu raja dan sensitiviti sesuatu kaum. 

Mengenai anggota SPR yang terbabit dalam menguruskan proses pilihan raya di Perak, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan 48 pasukan yang mana setiap Parlimen akan menempatkan dua pasukan. 

"Kemungkinan kita akan tambah lagi pasukan seperti satu kawasan yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri perlu ada tiga pasukan. Bagaimanapun pegawai SPR akan berbincang dengan Pengarah SPR Perak sekiranya perlu penambahan pasukan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment