My Add

Friday 27 July 2012

Malaysia boleh bina bangunan di lereng bukit

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Malaysia masih boleh melaksanakan pembangunan di lereng bukit selagi ia tidak melibatkan struktur bangunan tinggi.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beberapa perkara lain perlu dititikberatkan seperti membina rumah yang berjarak jauh antara satu sama lain selain tidak rakus menebang pokok-pokok besar bagi mengurangkan risiko tanah terhakis.

Mengambil contoh di Koh Samui, Thailand yang sempit dan curam, kata beliau, jalan konkrit dibina selain penanaman pokok renek secara meluas untuk mengukuhkan struktur tanah di lereng bukit.

Jelas beliau lagi, walaupun tanah di Koh Samui adalah lembut seperti di Malaysia, hotel-hotel yang dibina di lereng bukitnya kelihatan agak stabil dan kukuh masing-masing dengan kolam renang sendiri.

“Bagaimanapun, bukit di Malaysia tidak berbatu dan mempunyai satu lapisan tebal tanah dengan pokok gergasi berdiri teguh oleh akar mereka untuk menstabilkan cerun selain pangkal pokok-pokok yang dilindungi semak tebal untuk mencengkam.

“Pokok-pokok renek pula berupaya menghalang tanah runtuh kerana tanpa perlindungan ini tanah akan mudah menuruni cerun," katanya menerusi entri terbaru bertajuk Italian Holiday di blognya di http://chedet.co.cc hari ini.

Dr. Mahathir berkata, Langkawi boleh mendapat manfaat daripada pembangunan lereng bukit yang dirancang dengan teliti.

Bagaimanapun, tambah beliau, pemaju perlu lebih imaginatif dan tidak cuba memaksimumkan pulangan bagi tanah tersebut.

Dalam usaha ke arah itu, jelasnya, pembangunan lereng bukit di Itali juga boleh dijadikan contoh kerana pembangunan yang dibina masih mampu mengekalkan kecantikan alam semula jadi dan bukan penyebab tanah runtuh.

“Pembangunan di Langkawi semakin pesat kerana pada masa ini, terdapat kira-kira 2.5 juta pelancong yang melawat Pulau Legenda itu selain terdapat rakyat asing yang telah bersara menjadikannya sebagai tempat tinggal mereka.

“Pelancongan adalah cara terpantas untuk mengembangkan ekonomi. Oleh sebab itu, mereka perlu membina vila di lereng bukit dan kerajaan perlu membina jalan raya dua lorong seperti di Itali bagi meningkatkan keindahan pulau legenda ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment