My Add

Friday 27 July 2012

Tiada hasrat hantar pasukan pengamandi Syria

KUCHING, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Kerajaan tidak berhasrat menghantar pasukan pengaman ke Syria memandangkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala urusan penghantaran pasukan pengaman tertakluk sepenuhnya kepada keputusan yang dibuat majlis tersebut.

"Kita mendapat permintaan supaya menghantar pasukan pemerhati ke Syria, tetapi memikirkan keadaan di negara itu belum menentu, maka keputusannya adalah kita tidak menghantar pasukan tersebut.

"Ia juga bergantung kepada keputusan yang dibuat Jemaah Menteri, kita akan hantar jika itu yang diputuskan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Tentera 1 Divisyen di Kem Penrissen di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkiple Kassim serta Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Situasi di Syria dilaporkan semakin bergolak apabila pertempuran yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 302 rakyatnya terbunuh.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pelajar serta warga Malaysia yang berada di negara tersebut dibawa pulang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia setakat ini telah menghantar kira-kira 25,000 anggota tentera untuk melaksanakan misi pengaman di beberapa negara bergolak sejak misi pertama seumpamanya di Congo.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, urusan membawa pulang rakyat Malaysia di Syria menggunakan pesawat komersial telah selesai dan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Cuma kita menerima laporan terdapat sembilan pelajar di Syria enggan pulang ke tanah air dan itu adalah pilihan mereka sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment