My Add

Thursday 26 July 2012

Malaysia mahu penyelesaian terbaik bagi Syria

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Malaysia hari ini meminta masyarakat antarabangsa, kerajaan Syria dan pihak yang lain supaya bekerjasama mencari penyelesaian terbaik bagi rakyat Syria. 

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff, berkata Malaysia terkejut dengan kehilangan banyak nyawa orang awam di Syria. 

Dalam satu kenyataan pada debat terbuka Majlis Keselamatan berhubung keadaan di Asia Barat termasuk persoalan rakyat Palestin di New York semalam, beliau berkata Malaysia meminta semua pihak dalam konflik itu supaya menghentikan kegiatan keganasan dengan segera. 

"Keganasan yang kita saksikan sejak beberapa bulan ini menyebabkan ribuan orang awam cedera teruk dan mati walaupun dengan rancangan enam perkara dan kehadiran pemantau PBB," katanya dalam kenyataan yang dihantar di sini, hari ini. 

Hussein berkata, Malaysia percaya kerajaan Syria dan pembangkang harus membabitkan diri sepenuhnya dengan rancangan enam perkara yang boleh menyumbang kepada keamanan di negara itu. 

Menyentuh isu Palestin, Hussein berkata bagi mencapai keamanan di Asia Barat, penderitaan rakyat Palestin perlu diselesasikan dengan keazaman antarabangsa. 

"Penyelesaiannya sentiasa di sisi, tetapi hampir 30 tahun sejak Perjanjian Oslo disahkan oleh kedua-dua pihak tetapi ia tidak pernah dilaksanakan. Sebagai tambahan, Inisiatif Keamanan Arab 2002 juga tidak pernah menjadi kenyataan. 

"Penyelesaian dua negara yang sejak begitu lama kekal sebagai satu visi dan tidak lebih daripada itu. Keamanan di Timur Tengah seolah-olah begitu dekat dan dan sehingga hari ini penyelesaiannya masih jauh seperti pada mula ia dijangkakan," katanya. 

Hussein berkata, pendudukan Israel yang berterusan ke atas tanah dan wilayah rakyat Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang pada hari ini dan keadaan itu sama seperti pada tahun 1967. 

"Rejim Israel melakukan penindasan dan pembunuhan di luar bidang kehakiman dan sekatannya yang berterusan di Semenanjung Gaza akhirnya menyebabkan 1.6 juta rakyat Palestin sengsara," katanya. 

Hussein berkata, Malaysia menggesa Israel menghentikan segera kegiatan ketenteraannya dan keluar dari semua wilayah yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dan Golan Syria kepada sempadan 1967. 

"Malaysia juga menggesa supaya dihentikan segera kegiatan peneroka Israel yang menambah tanah rakyat Palestin dan supaya Israel mengembalikan tanah kepada rakyat Palestin yang berhak. 

"Malaysia akan terus menyokong aspirasi rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, hak-hak dan penyelesaian dua negara bagi mencapai apa yang dihasratkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment