My Add

Thursday 26 July 2012

Selangor bayar setengah bulan gaji, bonus tambahan RM200

SHAH ALAM, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Kerajaan negeri Selangor hari ini meluluskan pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Kerajaan negeri juga memutuskan untuk memberi bonus tambahan sebanyak RM200 yang dinamakan Bonus Simpanan Selangorku kepada kakitangan awam negeri, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

"Bagi yang beragama Islam, wang ini (Simpanan Selangorku) akan dimasukkan ke dalam Simpanan Tabung Haji manakala yang bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional," katanya.

Abdul Khalid berkata, pembayaran kedua-dua bonus ini akan dilaksanakan pada minggu hadapan dan kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM20 juta untuk pembayaran bonus ini.

Isnin lalu, beliau berkata, kerajaan Selangor akan membayar bonus kepada kakitangan kerajaan negeri jika kerajaan Persekutuan membayar bonus kepada kakitangan awamnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada kakitangan kerajaan Persekutuan dan juga RM500 sebagai Bayaran Khas kepada para pesara kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment