My Add

Thursday 12 July 2012

Najib: Sukan boleh bina negara bangsa

PUTRAJAYA, RABU, 11 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik Malaysia di sini hari ini menyifatkan bidang sukan sangat penting dalam pembinaan negara bangsa.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan Malaysia bukan hanya diukur dari segi pendapatan per kapita atau bangunan pencakar langitnya tetapi juga bergantung kepada perasaan rakyat terhadap negara yang dicetuskan menerusi sukan.

Katanya, ia juga sejajar dengan keputusan kerajaan meletakkan bidang sukan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

''Kalau disebut perasaan dan isi hati serta emosi rakyat, maka, kejayaan dalam sukan boleh menjadi pencetus dan pemangkin kepada perasaan yang lebih bangga, gembira dan optimis terhadap keupayaan negara dan masa depannya.

''Sebab itulah kita mesti melihat kejayaan dalam bidang sukan melangkau individu yang memenangi pingat emas tetapi merasai dan menyedari bahawa ia juga sinonim dengan kejayaan negara kita sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Olimpik dan Paralimpik Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Menurut Perdana Menteri, setiap atlet yang layak ke sukan berprestij itu hendaklah merasai bahawa segala kekuatan negara dan 27 juta rakyat Malaysia berada di belakang mereka.

''Rakyat akan menyokong dan berdoa walaupun tidak berkesempatan berada di kota London tetapi doa dan restu tetap menjadi iringan para atlet yang bertanding.

''Jadi, apabila para atlet kita memasuki gelanggang nanti, bawalah perasaan negara dan rakyat bersama-sama," katanya.

Perdana Menteri berkata, setiap kejayaan para atlet Malaysia dalam Sukan Olimpik akan menerima imbuhan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan.

Kata Najib, atlet yang berjaya memenangi pingat emas akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata, mereka yang memenangi pingat akan mendapat pengiktirafan tambahan berbentuk bayaran wang tunai sepanjang hayat iaitu emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000) sebulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment