My Add

Thursday 12 July 2012

Jamuan rakyat bersama PM di Terengganu

KUALA TERENGGANU, RABU, 11 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri majlis jamuan rakyat yang disertai antara 8,000 hingga 10,000 orang di padang orang ramai Kampung Bukit Payong, Marang, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Terengganu Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan memberikan sambutan meriah kepada Perdana Menteri sempena lawatan tersebut.

''Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan seramai kira-kira 20,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dari seluruh Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, '' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad seterusnya berkata, Najib dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada pukul 9 pagi hari berkenaan dan menaiki helikopter ke Dungun untuk mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masyarakat Dungun di Arena Square.

Selepas itu, di Marang, Najib akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Payong sebelum menghadiri jamuan rakyat di padang orang ramai Bukit Payong.

Beliau menambah, Perdana Menteri dijangka bertolak balik ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang.

Tambah beliau, Najib dijadual datang semula ke Terengganu pada Ogos ini untuk menghadiri majlis berbuka puasa anjuran kerajaan negeri. Bagaimanapun, beliau belum dapat memberikan maklumat lanjut mengenai lawatan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment