My Add

Sunday 8 July 2012

Nilai pencapaian kerajaan berdasarkan fakta

SHAH ALAM, SABTU, 07 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi muda menilai pencapaian kerajaan sekarang berasaskan fakta dari semua sudut dan bukannya emosi serta persepsi politik tanpa memastikan kebenarannya terlebih dahulu.

Justeru Perdana Menteri berkata, golongan tersebut perlu dilatih dengan kemahiran berfikir secara mendalam agar mereka dapat membezakan fakta sebenar dan tidak menelan persepsi tidak berasas yang tersebar dalam medium Internet dan media sosial.

''Generasi muda patut boleh menilai ini semua, bukan soal persepsi. Jangan fikirkan semata-mata kita kerajaan, kita tidak betul. Kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekarang tidak betul, Malaysia tidak akan membangun seperti hari ini.

''Insya-Allah dalam beberapa tahun lagi Malaysia akan mencapai status negara maju," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemikir Muda di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Kira-kira 5,000 peserta khususnya generasi muda dari seluruh negara hadir ke konvensyen yang dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia (PPM) itu.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Belia Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Penaung PPM.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, kedua-duanya penaung PPM serta pengerusi konvensyen tersebut, Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya berjanji akan terus bersama-sama memberikan keutamaan dalam memenuhi keperluan generasi muda di negara ini walau apa pun yang terjadi bagi memastikan matlamat program transformasi negara tercapai.

Sehubungan itu beliau mahu generasi muda tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir pihak yang memilih kaedah demonstrasi jalanan dalam membuat sebarang tuntutan kerana cara tersebut tidak memberikan keuntungan.

Beliau berkata, perubahan sebenar boleh dilakukan di negara ini dengan cara membuka minda masing-masing dan bukannya dengan retorik politik.

''Ia tidak berlaku dengan demonstrasi jalanan, macam kera kena belacan, melonjak-lonjak, menendang anggota polis yang terbaring di atas jalan raya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment