My Add

Thursday 5 July 2012

Pelajar asing dicadang wajib lulus subjek perlembagaan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 Julai 2012: Seorang pakar sejarah hari ini mencadangkan supaya Perlembagaan Malaysia dijadikan subjek wajib lulus kepada pelajar asing yang ingin melanjutkan pengajian di negara ini. 

Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim berkata, perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana ia diamalkan oleh Indonesia yang mewajibkan pelajar asing ke negara itu lulus program Pancasila iaitu ideologi dasar bagi negara berkenaan. Mohd Yusoff, yang juga Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka, bagaimanapun berkata sebelum cadangan itu dilaksanakan, ia seharusnya diperkenalkan terlebih dahulu kepada pelajar tempatan. 

"Sudah tiba masa untuk Perlembagaan Malaysia diajar kepada pelajar tempatan bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi," katanya pada Seminar Perlembagaan Malaysia bertajuk 'Di Antara Sejarah dan Tuntutan Semasa' di sini. 

Mohd Yusoff berkata, pembelajaran mengenai Perlembagaan Malaysia secara berterusan dapat memupuk semangat pelajar untuk menghayati erti perlembagaan dan undang-undang tertinggi negara serta implikasinya terhadap masyarakat. 

Seminar terbabit diadakan dengan tujuan menyelami maksud sebenar Perlembagaan negara dan menyebarkan kefahaman mengenainya kepada generasi muda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment