My Add

Friday 20 July 2012

Pelajar kita jaguh Matematik

*DARI kiri; Justin, Yin Hong, Si Wei, Si Yu, Anzo dan Muhammad Afiq menunjukkan pingat yang dimenangi sejurus tiba di KLIA, Sepang, kelmarin

Kemenangan pertandingan IMO bukti mampu bersaing 

SEPANG, KHAMIS, 19 Julai, 2012: “Kemenangan ini bukti pelajar Malaysia mampu bersaing dalam bidang Matematik pada peringkat antarabangsa,” kata How Si Yu, 17, pemegang pingat perak dalam Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) 2012. 

Beliau antara enam pelajar sekolah menengah dari Malaysia yang menyertai pertandingan Matematik berprestij berlangsung di Mar del Plata, Argentina antara 4 hingga 16 Julai lalu. 

Si Yu dan kembarnya, Si Wei; Tham Ying Hong, 17; Anzo Teh Zhao Yang, 16; Justin Lim Kai Ze, 16 dan Muhammad Afiq Noorman, 17, menggondol dua pingat perak, tiga gangsa dan satu anugerah sanjungan kehormat. 

Si Yu, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 12, Subang Jaya, berkata minat mendalam selain semangat bersaing dengan abangnya mendorong kejayaan beliau dalam pertandingan berkenaan. 

Sementara itu, Tham, 17, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Petaling Jaya, berkata pertandingan itu adalah yang terakhir selepas menyertainya empat tahun berturut-turut. 

“Saya berjaya membawa pulang tiga gangsa dan satu anugerah sanjungan kehormat. Saya gembira kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. 
Mahu lanjut pelajaran 

“Selepas ini saya merancang melanjutkan pengajian dalam bidang Matematik di luar negara,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini kelmarin. 

Muhammad Afiq, 17, pelajar SMK Sultan Badlishah, Kulim, berkata pengalaman pertama memasuki IMO begitu bermakna bagi beliau selepas lebih dua tahun berusaha cuba menempat kan diri mewakili Malaysia. 

“Ia bukan mudah. Namun, saya tetap berusaha kerana percaya boleh melakukannya berdasarkan kejayaan meraih gangsa dalam satu pertandingan Matematik antarabangsa di Hong Kong lima tahun lalu,” katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa IMO 2012 Malaysia, Prof Arsmah Ibrahim, berkata IMO yang menguji kemahiran peserta menyelesaikan masalah algebra, geometri, teori nombor dan kombinatorik, semakin diminati dalam kalangan pelajar tempatan. - BH

No comments:

Post a Comment