My Add

Tuesday 17 July 2012

Pelantikan guru program pensiswazahan akan disegerakan

BUKIT MERTAJAM, SELASA, 17 Julai, 2012: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, urusan pelantikan seramai 7,975 orang guru lulusan program pensiswazahan guru, akan dilakukan secepat mungkin. 

Beliau berkata, pada 23 Mei lalu Kementerian Pelajaran menerima waran untuk kenaikan pangkat ke DG41 bagi Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian di bawah program pensiswazahan guru.

"Penangguhan selama dua tahun untuk pelantikan itu telah menjadi satu daripada sebab ramai guru yang tidak mahu mengikuti program pensiswazahan. Pihak kementerian akan usahakan agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin. 

"Diharapkan ramai lagi guru akan mengikuti program pensiswazahan guru ini. Ia penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan guru di samping memartabatkan profesion perguruan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2012 Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang di sini hari ini. 

Mohd Puad berkata, kerajaan menjangkakan pada 2020 semua guru di seluruh negara mempunyai ijazah. Sejak diperkenal pada 2006 hingga kini, seramai 70,062 guru mengikuti dan berjaya menamatkan program pensiswazahan guru. 

Beliau berkata, kementerian menyasarkan seramai 22,102 orang guru akan mengikuti program pensiswazahan bagi pengambilan kedua pada September. 

"Bagaimanapun sehingga semalam (16 Julai) hanya 3,528 orang yang membuat permohonan. Diharap ramai lagi guru-guru yang akan memohon," katanya. 
Katanya, kerajaan memperuntuk sebanyak RM1.4 bilion bagi menjayakan program pensiswazahan guru ini. 

Guru-guru berkenaan akan mengikuti pengajian jarak jauh di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari tiga tahun setengah atau empat tahun. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment