My Add

Thursday 12 July 2012

PEMANDU nafi dakwaan Wan Azizah

KUALA LUMPUR, KHAAMIS, 12 Julai, 2012: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) menafikan tuduhan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Putrajaya membelanjakan 71 peratus daripada dana Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk meningkatkan persepsi orang ramai terhadap polis dan bukannya untuk membanteras jenayah. 

Menurut PEMANDU, kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu "salah sama sekali dan tidak bertanggungjawab".

"Datuk Seri Wan Azizah sepatutnya mengesahkan terlebih dahulu fakta beliau sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media dengan maksud untuk mengelirukan orang awam di Malaysia mengenai kerja dan kemajuan sebenar dicapai di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) bagi Pengurangan Jenayah," kata Pengarah NKRA bagi Pengurangan Jenayah, Eugene Teh Yee. 

Beliau menjelaskan bahawa PEMANDU di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya memperuntukkan 0.75 peratus atau RM1.8 juta daripada dana GTP bagi program kesedaran awam dan media. 

"Peruntukan tersebut digunakan untuk memberitahu dan mengemaskini maklumat kepada rakyat mengenai inisiatif dan program yang dikenal pasti serta dilaksanakan untuk mencegah jenayah dan menjadikan jalan-jalan di Malaysia lebih selamat dan terjamin. 

"Kita percaya bahawa Wan Azizah telah secara silap mengambil kira kos bagi menempatkan pegawai polis di kawasan awam sebagai perbelanjaan untuk usaha perhubungan awam. 

"Ini tidak betul sama sekali kerana kos berkenaan adalah digunakan bagi melaksanakan inisiatif menempatkan semula pegawai-pegawai polis," katanya pada majlis taklimat media di sini hari ini. 

Teh juga menjelaskan bahawa pengumpulan data selama ini diletakkan di bawah tanggungjawab pasukan Polis Diraja Malaysia. 

"PEMANDU tidak pernah mengambil alih peranan polis dalam bidang ini. Peranan PEMANDU dalam NKRA Pengurangan Jenayah tidak membabitkan proses mengumpulkan perangkaan jenayah. 

"Peranan kami ialah bagi memastikan bahawa data tersebut diperoleh, konsisten dan telus kepada rakyat. Untuk tujuan ini kami memperoleh perangkaan daripada PDRM dan kemudian menyalurkan perangkaan tersebut kepada media pada setiap bulan," katanya. 

Beliau membuat penjelasan mengenai laporan media yang tidak tepat baru-baru ini yang memberi pengertian bahawa inisiatif jenayah GTP gagal mencapai hasil dan sebaliknya menyebabkan lebih banyak berlakunya jenayah di jalanan. 

Laporan ini seolah-olah menyatakan bahawa PEMANDU bertanggungjawab mengumpul data tentang jenayah dan mungkin mengubah cara bagaimana data itu dikumpulkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment