My Add

Thursday 12 July 2012

Wabak EV-71 tidak tersebar di Malaysia: Tiong Lai

BENTONG, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan setakat ini tiada laporan mengenai penyebaran kes wabak Enterovirus 71 (EV-71) dari Kemboja di negara ini. 

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata bagaimanapun beliau dimaklumkan terdapat satu kes berkaitan EV-71 dan pesakit berkenaan sudah diasingkan dan di bawah penjagaan. 

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana keadaan adalah terkawal dan setakat ini, tidak ada penyebaran kes wabak EV-71 dilaporkan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menutup program Kids Invent! di sini, hari ini. 

Beliau berkata, walaupun tiada kes baru dilaporkan, kementerian masih mengekalkan amaran pada peringkat tinggi dan memantau keadaan dengan teliti. 

Baru-baru ini, wabak EV-71 menyebabkan lebih 60 kanak-kanak di Kemboja maut, sekaligus mencetus kebimbangan penduduk di negara ini. 

Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan laporan harian mengenai situasi wabak itu di Kemboja. 
Beliau meminta orang ramai untuk menjaga serta mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi setiap masa. 

"Semua tadika awam dan swasta mesti sentiasa mengawasi kanak-kanak dan memastikan persekitaran mereka sentiasa bersih dan semua klinik kesihatan dan swasta mesti memaklumkan segera kepada kementerian jika didapati mana-mana pesakit disyaki dijangkiti virus ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment