My Add

Thursday 26 July 2012

Pengawal keselamatan bengkel tumpaskan 2 pencuri

TEMERLOH, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Seorang pengawal keselamatan di sebuah bengkel kenderaan berjaya memberkas dua lelaki dipercayai mahu mencuri di premis itu di Batu 3, dekat sini, hari ini. 

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, kedua-dua suspek berusia 35 dan 46 tahun itu bertindak menyerang pengawal berusia 30 tahun itu selepas kelibat mereka yang mahu mencuri itu disedari pengawal berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Deputi Superitendan R Sundralingam, berkata ketika membuat rondaan, pengawal itu mendapati kedua-dua suspek yang menceroboh bengkel itu sedang memunggah alat ganti terpakai kenderaan ke dalam kereta mereka. 

"Suspek kemudiannya bertindak menyerang mangsa, pengawal terbabit berjaya mempertahankan diri dan menumpaskan kedua-dua suspek itu sebelum menyerahkan kepada polis," katanya ketika dihubungi di sini. 

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berasal dari Kuala Terengganu itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan. 

"Seorang daripada suspek kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh selepas mengalami kecederaan di hidung yang kemungkinan patah manakala seorang lagi suspek ditahan di Balai Polis Temerloh untuk siasatan lanjut," katanya. 

Sementara itu dalam kes berasingan, dua wanita pekerja swasta yang menyewa sebuah rumah di kampung Belangka Jejawi, dekat Sanggang, di sini, disamun komputer riba dan telefon bimbit oleh tiga lelaki bersenjatakan parang pada jam 9.40 pagi tadi. 

Sundralingam berkata, kedua-dua wanita berusia 20 tahun itu turut diikat dengan tali manakala mulut serta mata mereka ditutup dengan pita pelekat. 

Mangsa berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis pada jam 11.40 pagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment