My Add

Thursday 26 July 2012

Polis siasat kenamaan beli ijazah palsu

SHAH ALAM, KHAMIS, 26 Julai, 20`12: Polis sedang mengenal pasti identiti beberapa kenamaan termasuk individu bergelar Tan Sri dan ahli politik, yang dipercayai membeli ijazah palsu daripada sebuah syarikat di Subang Jaya. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, kenamaan itu adalah sebahagian daripada 525 graduan palsu yang memperoleh ijazah dengan jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja.

 "Kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu yang mempunyai status dalam masyarakat membeli ijazah ini, namun kita tidak boleh mengulas mengenainya sehinggalah polis mengenal pasti individu itu. 

"Polis juga akan memanggil graduan lain untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini," katanya pada satu sidang media di sini. 

Beliau berkata, ijazah terbabit dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud. 

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary). 

Isnin lepas, BH membongkar kegiatan menjual ijazah palsu oleh sebuah institusi pendidikan di Subang Jaya, yang mendakwa bekerjasama dengan tiga universiti luar negara sebagai rakan usaha sama mereka. 

Dalam laporan itu, institusi terbabit didakwa menawarkan ijazah pada harga RM6,500 bagi sarjana muda, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (PhD). 

Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata, sehingga kini polis menahan dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga pengarah syarikat dan seorang wanita berumur 36 tahun yang bekerja sebagai ejen di syarikat berkenaan. 

Katanya, suspek lelaki itu juga ialah seorang daripada pemegang saham syarikat terbabit. 

"Lelaki itu ditahan di sebuah premis di Cheras manakala wanita terbabit diberkas di pejabat mereka di Subang Jaya...kedua-dua mereka ditahan petang semalam," katanya. 

Tun Hisan berkata syarikat itu memperoleh pelanggan melalui ejen yang dilantik serta melalui laman portal syarikat berkenaan. 

Katanya individu yang berminat untuk mendapatkan ijazah perlu membayar amaun yang telah ditetapkan termasuk bayaran untuk menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di hotel terkemuka di Lembah Klang. 

Hasil operasi sejak 2003, syarikat itu dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM5 juta. 

"Saya menyeru mana-mana majikan, keluarga dan pihak berkaitan yang mengetahui pekerja, anak atau kenalan yang mempunyai ijazah palsu dari universiti yang tidak diiktiraf ini agar segera membuat aduan. Ini kerana perbuatan menggunakan ijazah palsu itu merupakan satu penipuan," katanya. 

Kedua-dua suspek direman bermula dari tarikh tangkapan hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment