My Add

Saturday 21 July 2012

Perdagangan Britain-Malaysia melonjak

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: United Kingdom, yang berhasrat untuk merancakkan ekonominya yang semakin lemah, yakin perdagangan dua hala dengan Malaysia, yang kini telah berubah menjadi antara kuasa yang sedang pesat membangun di abad ke-21, akan menyaksikan lonjakan dalam tahun-tahun akan datang, kata Dewan Perdagangan Britain-Malaysia (BMCC).

Timbalan Pengerusinya, Andrew M. Sill berkata, keadaan nampak positif dan dengan kerajaan Britain menyokong fokus yang kian meningkat terhadap hubungan Britain-Malaysia, sudah pastinya terdapat jangkaan "yang kita akan melihat perdagangan akan meningkat antara United Kingdom dan Malaysia".

Beliau berkata, adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan yang Britain amat berminat untuk merancakkan kerjasama mereka dan ini ternyata daripada komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron semasa lawatannya ke Malaysia pada bulan April.

"Cameron berkata, Malaysia sering diketepikan dalam tahun-tahun sebelum ini dan perdagangan antara kedua-dua negara tidaklah tinggi seperti yang sepatutnya dan sudah tiba masanya untuk berusaha sedikit dalam membina semula hubungan perdagangan dan mengangkatnya ke peringkat yang boleh diterima.

"Saya rasa dalam dalam tahun-tahun yang akan datang, kita akan melihat fokus yang sebenarnya diberikan kepada perdagangan Britain-Malaysia dan hasilnya, kita akan menyaksikan peningkatan dalam paras perdagangan antara kedua-dua negara," kata beliau kepada Bernama.

Tahun lepas, United Kingdom ialah rakan negara keempat terbesar Malaysia di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan RM13.03 bilion, sementara Malaysia ialah rakan dagang kedua terbesar Britain di ASEAN.

Sill, yang juga merupakan Eksekutif Negara, Royal Bank of Scotland Bhd., berkata, terdapatnya minat yang ketara dari kalangan syarikat Britain untuk melihat Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan alternatif ekoran keadaan tidak menentu di Eropah.

"Banyak perniagaan kini memberi fokus kepada asas pelanggan multinasional dan pastinya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kami telah melihat minat ke atas Malaysia telah meningkat dari segi pelaburan baharu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment